KOTA TINGGI: Tindakan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang didakwa demam lalu ditemani seorang wanita berstatus janda di sebuah rumah sewa di Pengerang di sini, membawa padah apabila pasangan itu ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Baca juga: Tawakal Dalam Islam: Cara Berserah Selepas Berusaha
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan, berkata dalam serbuan kira-kira jam 10.35 malam itu, anggota penguat kuasa bertindak atas aduan awam sebelum memeriksa rumah dua bilik itu.
Katanya, ketika pintu dibuka, lelaki bujang yang bekerja di Pengerang itu hanya berseluar pendek dan tidak berbaju, manakala wanita berusia 25 tahun yang juga bekerja di kawasan sama mengenakan baju-T serta seluar panjang.
“Siasatan awal mendapati pasangan itu mengaku bukan suami isteri, namun sudah berkenalan dan bercinta lebih setahun lalu serta merancang untuk bernikah tetapi belum menetapkan tarikh.
“Lelaki itu turut menunjukkan surat cuti sakit dari klinik dan ubat-ubatan bagi membuktikan dia tidak bekerja pada siang hari kerana demam, manakala wanita berkenaan mendakwa datang untuk menemaninya.
“Maklumat pengadu menyatakan wanita itu sudah beberapa kali datang ke rumah yang disewa lelaki terbabit sebelum ini,” katanya.
JAINJ berkata, alasan demam atau sekadar datang menemani tidak boleh dijadikan ‘tiket’ untuk pasangan bukan mahram berada berdua-duaan di dalam rumah itu.
Pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
© New Straits Times Press (M) Bhd