LATEST
National

UKM abai aduan antara punca tadbir urus kewangan UKMShape bermasalah – PAC

UKM abai aduan antara punca tadbir urus kewangan UKMShape bermasalah – PAC

KUALA LUMPUR: Mengabaikan aduan adalah di antara 10 rumusan dikenal pasti dalam prosiding siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap kutipan hasil yuran dan perbelanjaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Baca juga: Shiha Zikir Putuskan Hubungan Dengan Artis Baharu, Minta Lagu Diturunkan

Prosiding itu dilaksanakan PAC di antara 29 Jun hingga 16 Julai lalu, susulan pendedahan ketidakaturan serius tadbir urus kewangan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape).

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata pengabaian itu menyebabkan tiada tindakan diambil selama lapan bulan oleh pentadbiran lama UKM hingga kepemimpinan baharu memulakan siasatan dalaman.

Beliau berkata, perjanjian pengendalian program Sarjana Pendidikan (SPEND) dan Diploma Pengurusan Lepasan Ijazah (DLPI) antara UKM dan Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) juga dikenal pasti tidak mematuhi tatacara perolehan kerajaan.

Katanya, ia antara lain melanggar Perlembagaan UKM kerana tidak mendapat kelulusan rasmi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Kementerian Kewangan (MoF).

“KSSB juga mengutip yuran pengajian secara terus daripada pelajar tanpa sebarang mandat sah, selain hasil berkenaan disimpan sebagai sebahagian agihan kasar dan tidak direkodkan dalam akaun UKM, sekali gus menyebabkan pendapatan universiti menjadi terkurang nyata mengikut piawaian perakaunan awam.

“Berlaku kegagalan fungsi semak dan imbang di peringkat LPU kerana meluluskan perjanjian atau kertas kerja dengan anggapan saringan rapi sudah dibuat di peringkat bawahan, selain sering bergantung kepada kehadiran wakil MoF dalam mesyuarat tanpa memastikan kelulusan rasmi diperoleh terlebih dahulu.

“Terdapat pendedahan Pejabat Penasihat Undang-undang (PUU) UKM menerima tekanan berterusan termasuk tawaran wang tunai dan tajaan percutian luar negara untuk bekerja hujung minggu bagi memotong giliran semakan undang-undang ke atas kontrak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Laporan Audit Ketua Negara Siri 1/2026 mendedahkan bayaran kad kredit korporat UKMShape bernilai RM107,907 dibuat terhadap enam individu tidak layak kerana tiada maklumat seperti nombor pekerja atau tiada rekod dalam sistem maklumat kakitangan UKM.

Mas Ermieyati berkata, PAC juga mendapati konflik kepentingan pegawai UKM memegang jawatan utama dalam KSBB tanpa kebenaran bertulis ketua jabatan terjadi apabila nama pegawai terbabit disembunyikan dalam dokumen asal ketika proses semakan dilakukan PUU.

Beliau berkata, konflik kepentingan bagi promosi UKMShape juga berlaku apabila lori bagi promosi bergerak didaftarkan di bawah syarikat milik anak kandung bekas pengarah pusat berkenaan.

Katanya, berlaku konflik kepentingan membabitkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman UKM kerana pelantikan panel dibuat secara terus Naib Canselor serta skop siasatan terhad kerana hanya menyasarkan pegawai bawahan tanpa membabitkan pemutus dasar utama.

“KSSB sudah memfailkan saman sivil menuntut RM2.49 juta di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Mei 2026, manakala UKM memfailkan tuntutan balas menuntut tunggakan yuran RM3.44 juta serta mengeluarkan Notis Pihak Ketiga terhadap bekas Pengarah UKMShape dan Pengerusi KSBB untuk menanggung liabiliti.

“Bagi mengatasi isu tadbir urus, UKM menarik balik status Unit Perniagaan Strategik UKMShape dan mengembalikannya sebagai Pusat Tanggungjawab biasa yang tertakluk sepenuhnya kepada peraturan kewangan Perbendaharaan, selain melaksanakan intervensi bagi memantapkan tadbir urus pengurusan kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, PAC mengemukakan 10 syor utama, antaranya memperkukuh perlindungan pemberi maklumat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UKM wajib menyediakan saluran aduan telus.

Saluran itu, katanya, perlu dibuat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan menetapkan garis masa mandatori bagi menyiasat setiap aduan tanpa menunggu pertukaran kepemimpinan universiti.

Beliau berkata, memperkasa kawalan kelulusan kontrak dengan memastikan memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) mempunyai implikasi kewangan dan dasar, dibawa untuk kelulusan LPU, KPT dan MoF sebelum dimeterai.

“Menghentikan kutipan yuran oleh pihak ketiga. KPT dan semua universiti awam (UA) perlu melarang entiti atau syarikat luar mengutip yuran pengajian, sebaliknya semua kutipan hasil perlu dimasukkan terus ke akaun rasmi Jabatan Bendahari universiti secara berstatutori.

“LPU tidak boleh bertindak sekadar sebagai pengesah akhir, manakala wakil MoF dalam LPU perlu memainkan peranan proaktif menyemak pematuhan Pekeliling Perbendaharaan, sebelum cadangan diluluskan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu menyiasat dan mendakwa pihak terbabit dalam cubaan memberi suapan bagi memotong giliran fail semakan di Pejabat PUU, selain tindakan tegas perlu diambil ke atas sebarang konflik kepentingan, termasuk salah guna aset membabitkan syarikat milik keluarga pegawai universiti,” katanya.

Beliau berkata, UKM dan KSBB juga perlu menjalankan audit pelarasan akaun secara telus bagi memuktamadkan baki tuntutan sebenar kedua-dua pihak, selain meneruskan tuntutan undang-undang yang sedang berlangsung.

“Ahli badan yang menyiasat kes ketakaturan serius akan datang perlu dilantik terus oleh LPU atau KPT, bukannya Naib Canselor dan skop siasatan wajib merangkumi rantaian arahan di peringkat pengurusan tertinggi.

“Aktiviti komersial UA perlu dipindahkan di bawah anak syarikat rasmi yang tertakluk kepada audit syarikat komersial, manakala universiti induk kekal tertakluk sepenuhnya kepada peraturan kewangan awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news