am@hmetro.com.my
Baca juga: Parlimen: Peruncit di kawasan pedalaman layak sertai SARA
Batu Pahat: Seorang pelajar Tingkatan Dua direman dua hari di Mahkamah Majistret hari ini bagi membantu siasatan kehilangan wang tunai RM14,500 milik neneknya berusia 84 tahun yang disimpan dalam almari di sebuah rumah di Lam Lee, Yong Peng di sini.
Perintah reman terhadap remaja lelaki berusia 14 tahun itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno bermula hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
Berdasarkan laporan polis, kejadian terbongkar selepas warga emas itu menyedari wang tunai miliknya yang disimpan dalam almari hilang sebelum menghubungi seorang anaknya untuk mendapatkan bantuan.
Difahamkan, mangsa pada mulanya menyedari wang tunai RM3,500 miliknya hilang sebelum mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan baki wang simpanannya itu ke tempat lain.
Bagaimanapun, wanita berkenaan sekali lagi berputih mata apabila mendapati wang tunai RM11,000 yang disimpan di tempat baharu turut lesap pada 18 November lalu.
Susulan kejadian itu, mangsa menghubungi anak lelakinya dan meminta bantuan membuat laporan polis.
Menurut keterangan awal, warga emas berkenaan memaklumkan cucunya antara individu yang kerap datang ke rumahnya kerana mengikuti bapanya yang mempunyai kebun berhampiran kediaman itu.
Bertindak atas laporan diterima, polis menjalankan siasatan sebelum menahan remaja itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd