farahmarshita@mediaprima.com.my
Baca juga: Malaysia jadi hab eksport semula cip AI? Kerajaan mula siasat!
Kuala Lumpur: Semua peruncit di kawasan pedalaman layak menyertai program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, mereka perlu mengemukakan permohonan terminal pembayaran bagi membolehkan peruncit menerima bayaran terus daripada Kementerian Kewangan (MoF).
“Apabila terminal itu dipasang di kedai runcit mereka dan pengguna menggunakan kad pengenalan masing-masing, maka bayaran itu dibuat oleh MoF terus kepada peruncit.
“Saya dah masuk ke pedalaman dan saya tengok kedai runcit dan point of sales (POS) yang mempunyai terminal pembayaran SARA sememangnya menerima manfaat daripada penyertaan dalam program itu. Mereka cuma perlu memohon saja,” katanya pada Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai langkah kerajaan bagi memastikan kedai runcit di kawasan pedalaman turut mendapat manfaat daripada program SARA, susulan kebimbangan mereka kehilangan pelanggan akibat persaingan dengan pasar raya dan rakan strategik SARA.
Pada sesi itu beliau turut menjawab Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai perbezaan kos antara peniaga kecil di kawasan pedalaman dengan pasar raya besar dalam penetapan harga dan subsidi nasional.
Fuziah berkata, kerajaan mengambil kira perbezaan struktur kos kedua-dua kategori peruncit itu, khususnya dari segi pembelian pukal dan kos logistik.
“Pasar raya besar mempunyai kelebihan ekonomi skala yang membolehkan mereka membeli barangan secara pukal pada harga lebih rendah.
“Bagi peruncit kecil, mereka terpaksa menanggung kos logistik untuk membawa barang-barang ke kawasan pedalaman. Ditambah pula barang keperluan yang dijual adalah barang import.
“Jadi pelbagai faktor ini tentu sekali membawa perbezaan dalam struktur kos antara peruncit kecil dan pasar raya,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memberikan tumpuan pada bantuan berkaitan logistik menerusi beberapa inisiatif, antaranya Program Penyeragaman Harga dengan peruntukan RM67 juta bagi pengangkutan barangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, Program Pengedaran Barang Perlu diperuntukkan RM250 juta bagi 2026 dan RM250 juta bagi 2027 untuk pengedaran barangan keperluan membabitkan 828 kawasan dan RM3.5 bilion pada 2025 bagi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) membabitkan kira-kira 30,000 kenderaan pengangkutan barangan keperluan pengguna,” katanya.
Mengenai kawalan harga, Fuziah berkata, kementeriannya melaksanakan pemantauan harga setiap hari menerusi 850 pegawai pemantau yang memeriksa 2,170 premis bagi 316 jenis barangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd