am@hmetro.com.my
Baca juga: ‘Saya dengar tangisan sebelum terkejut lihat bayi berlampin dalam hutan’ – Penoreh getah
Georgetown: Graduan cemerlang, Ong Zhi Lin, 24, yang meraih Pingat Emas Universiti Sains Malaysia (USM) dan bakal menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan sempena Upacara Konvokesyen ke-64 universiti itu boleh menarik nafas lega apabila mendapat pekerjaan sebagai juruanalisis data sebuah syarikat kurier di Bayan Lepas sejak Ogos lalu.
Anak penoreh getah dari Segamat, Johor yang didiagnosis dengan spektrum autisme asperger sejak berusia empat tahun itu bersyukur meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.82 dan sanggup memilih tinggal berjauhan dari keluarga dan berulang-alik dari rumah sewa di Gelugor ke tempat kerjanya dengan menaiki bas.
“Ramai kawan tidak menyedari atau mengetahui saya mempunyai spektrum autisme dan saya belajar di sekolah biasa sehingga ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Saya bersyukur dan gembira dapat bekerja dalam bidang yang saya minati. Sejak kecil saya memang suka dengan nombor dan mudah mengingat segala maklumat berkaitan angka,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Khas Upacara Konvokesyen ke-64 USM, di sini, hari ini.
Zhi Lin berkata, sepanjang pengajian dia memberi tumpuan semasa mengikuti kuliah selain memperuntukkan dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran selain mencari maklumat tambahan menggunakan carian Internet dan sentiasa meminta pensyarah menjelaskan semula perkara yang kurang difahami semasa berada di dalam kelas.
“Kadang-kadang jika pensyarah bercakap terlalu laju atau slaid yang ditunjukkan mempunyai banyak tulisan, saya sukar menangkap apa yang diajar. Jadi, saya akan mencari maklumat tambahan di laman web atau YouTube atau minta pensyarah terangkan semula supaya lebih faham.
“Bagi saya, tugasan dan proses pembelajaran bukan sekadar menghafal tetapi bagaimana kita boleh menggunakan ilmu yang dipelajari untuk menyelesaikan sesuatu masalah,” katanya yang aktif menyertai kegiatan kelab dan persatuan di universiti termasuk kelab catur.
Ibunya, Tan Yee Wai, 53, berkata, dia dan suami, Ong Kim Huat, 63, pada mulanya hairan anak kedua daripada tiga beradik itu mempunyai masalah lambat bercakap semasa kanak-kanak berbanding adiknya yang cuma berbeza usia dua tahun.
Mereka kemudian tekad mencari masalah sebenar dihadapi Zhi Lin sebelum memulakan alam persekolahan.
“Dia hanya boleh bercakap ketika berusia tujuh tahun selepas masuk sekolah. Namun, sejak kecil dia mudah ingat semua tarikh kalau tanya hari apa sesuatu program di sekolah. Dia tak tahu hari apa tetapi hanya ingat tarikh,” kata suri rumah itu.
Sementara itu, kesibukan membahagikan masa antara mengikuti kuliah dan bekerja sambilan sebagai barista tidak menghalang graduan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Fariza Mohd Fauzan, 24, menerima Anugerah Pelajaran Diraja Majlis Raja-Raja Malaysia bagi kategori Bumiputera.
Lebih membanggakan, anak kedua daripada empat beradik yang memperoleh CGPA 3.77 dan Anugerah Dekan pada setiap semester itu juga adalah pelajar dari keluarga B40 yang dibantu menerusi inisiatif Program Siswa Sulung USM.
“Saya bekerja di sebuah kafe dalam USM sejak semester keempat selepas waktu kuliah atau jika tiada kelas. Masa bekerja yang fleksibel dan saya juga sanggup mengorbankan waktu cuti Sabtu dan Ahad untuk mencari wang tambahan.
“Namun, saya akan mengutamakan pelajaran dan tidak pernah ponteng kelas walaupun bekerja sambilan. Saya biasanya akan mengulangkaji pada sebelah malam atau awal pagi dan mempunyai impian menjadi seorang usahawan berjaya suatu hari nanti.
“Selain untuk kegunaan diri sendiri, wang hasil kerja sambilan itu turut saya kirimkan kepada keluarga untuk membantu menampung perbelanjaan dua adik yang masih bersekolah,” kata pelajar yang memilih major Perancangan dan Pengurusan Pembangunan dan minor Psikologi itu.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, seramai 9,134 graduan akan menerima ijazah masing-masing sempena konvokesyen berlangsung selama sembilan hari bermula esok hingga 1 Disember ini merangkumi 1,054 graduan Doktor Falsafah (PhD), 3,157 graduan Sarjana, 4,891 graduan Ijazah Sarjana Muda serta 30 graduan Diploma Kejururawatan.
Beliau berkata, upacara konvokesyen yang merangkumi 14 sidang itu akan berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, dengan sidang pertama disempurnakan oleh Raja Perlis merangkap Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail pada jam 10.30 pagi esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd