LATEST
World News

Rundingan Netanyahu-Eisenkot terus buntu

Rundingan Netanyahu-Eisenkot terus buntu

TEL AVIV – Parti Perdana Menteri sementara Israel, Benjamin Netanyahu dan pesaingnya, Gadi Eisenkot menamatkan satu lagi pusingan rundingan pada Ahad tanpa mencapai persetujuan berhubung pembentukan kerajaan gabungan baharu yang memerlukan kompromi daripada kedua-dua belah pihak.Delegasi daripada parti Yashar pimpinan Eisenkot dan Likud pimpinan Netanyahu mengadakan pertemuan selama empat jam di sebuah hotel di Herzliya, berhampiran Tel Aviv selepas pusingan pertama pada minggu lalu.Dalam kenyataan bersama, kedua-dua parti memaklumkan rundingan terbaharu itu telah berakhir selepas kedua-dua pihak mengemukakan pendirian masing-masing mengenai beberapa isu utama dan membincangkannya secara terperinci.Mereka turut mengesahkan satu lagi pertemuan susulan akan diadakan, namun tidak menetapkan tarikh atau mendedahkan butiran lanjut.Eisenkot, bekas ketua angkatan tentera Israel mempunyai tempoh sehingga 6 Disember ini untuk membentuk kerajaan dengan kemungkinan lanjutan selama 14 hari selepas Pilihan Raya Umum pada akhir Oktober lalu gagal memberikan majoriti mutlak kepada mana-mana blok politik.Blok pimpinannya yang mempunyai 48 anggota memerlukan sekurang-kurangnya 61 ahli Knesset bagi membentuk kerajaan majoriti.Bagaimanapun, blok itu masih berpecah mengenai pilihan membentuk kerajaan sama ada melalui kerjasama dengan parti ultra-Ortodoks, menjalin hubungan semula dengan parti Arab atau menubuhkan kerajaan perpaduan nasional bersama Likud.Netanyahu pula terus menggesa pembentukan kerajaan perpaduan nasional yang berkemungkinan menyaksikan jawatan Perdana Menteri digilirkan antara beliau dan Eisenkot iaitu kaedah yang pernah dilaksanakan dalam tempoh singkat sebelum ini.Susunan itu dilihat berpotensi membolehkan Netanyahu mengekalkan kedudukan politiknya ketika berdepan pertuduhan rasuah selain meneruskan penentangannya terhadap penubuhan suruhanjaya siasatan bebas berhubung kegagalan keselamatan ketika serangan pada 7 Oktober 2023.Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan Eisenkot yang bertegas tidak akan menyertai kerajaan pimpinan Netanyahu.Pada Sabtu lalu, sekutunya, bekas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett turut mengulangi pendirian bahawa beliau tidak akan menyertai kerajaan gabungan bersama Netanyahu atau blok pimpinannya dalam apa jua keadaan. – AFP 

More in World News

View all

Latest news