LATEST
National

Terucap terima kasih bukan tahniah, Azhan Rani mohon maaf

Terucap terima kasih bukan tahniah, Azhan Rani mohon maaf

KUALA LUMPUR: Pelakon versatil, Azhan Rani, 50, memohon maaf kepada pemenang kategori Cerita Asal Terbaik, Sun-J Perumal dan Sivanantham Perianan gara-gara tersasul mengucapkan ‘terima kasih’ dan bukannya ‘tahniah’ ketika menyampaikan trofi pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), baru-baru ini.

Baca juga: Aprena Manrose Rayu Pemiutang Berhenti Ganggu Isu Hutang Bekas Suami

Azhan menjelaskan, insiden lucu itu berlaku secara tidak sengaja apabila dia terlalu kelam-kabut serta diserang darah gemuruh sewaktu berada di atas pentas bersama rakan penyampai, Zahiril Adzim atau Bob.

Menerusi perkongsian video di Instagram miliknya yang memaparkan dia berbisik kepada Zahiril sejurus menyerahkan trofi berkenaan, Azhan mengakui hanya menyedari kesilapannya selepas melangkah meninggalkan pemenang.

“Ceritanya macam ini, aku memang tak boleh bila majlis formal macam ini. Kalau tak kelam-kabut memang akan ada benda bodoh berlaku dekat aku.

“Masa aku sampaikan trofi pada pemenang kategori Cerita Asal Terbaik itu, aku nak cakap ‘congratulations’ (tahniah) dekat pemenang. Tapi aku boleh cakap ‘thank you’ (terima kasih) dan yang menang itu pun cakap ‘thank you’.

“Lepas salam masa berjalan balik dekat Bob (Zahiril), baru otak aku berfungsi. Kau cakap apa tadi? Kau bagi trofi saja, bukan kau yang menang adoi… itu yang aku bisik dekat Bob,” tulisnya berseloroh.

Sambil mengakui berasa malu dengan situasi itu, pelakon terbabit turut menitipkan permohonan maaf secara terbuka kepada kedua-dua pengkarya berkenaan selain berseloroh meminta pihak penganjur tidak lagi mengundangnya sebagai penyampai anugerah selepas ini.

“Apapun, maaf sangat kepada pemenang kategori Cerita Asal Terbaik, Sun-J Perumal dan Sivanantham sebab otak saya tak berfungsi baik malam itu. Malu juga,” katanya.

Hantaran yang dimuat naik pemilik akaun Instagram dengan 685,000 pengikut itu nyata mencuit hati rakan selebriti serta warganet yang rata-ratanya terhibur selain turut berkongsi pengalaman lucu masing-masing di ruangan komen.

Dalam perkembangan karier, filem lakonan Azhan berjudul Bisikan arahan Opie Zami yang turut dibintangi Fatin Afeefa dan Iman Zulkarnain menemui penonton di pawagam sejak 19 November lalu selepas enam tahun menanti tayangan sejak penggambaran tamat pada 2020.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news