KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin meminta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, menarik balik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) ketika membangkitkan isu pantun kontroversi yang dibuat ketika sesi penggulungan minggu lalu.
Baca juga: Menteri Sabah Cedera Dan Terima Jahitan Di Kepala, Tergelincir Dekat Tandas VIP KLIA
Beliau menegaskan tindakan itu bukan pendirian dasar Kerajaan Perpaduan mahupun kementerian.
“Walaupun pantun berkenaan dia sudah tarik balik, tapi dia tidak tarik balik sokong PN.
“Oleh itu, saya minta Pontian (Ahmad), kalau sudah mohon maaf, kembali ke Dewan dan tarik balik sokong PN,” katanya ketika selesai Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, bagaimanapun berkata, permohonan itu sepatutnya ditujukan kepada beliau.
“Yang Berhormat (YB) kena tanya saya, bolehkah YB Speaker minta menteri (tarik balik sokongan kepada PN).
“Jadi untuk itu, saya lihat YB ada dua pilihan, yang pertama, tak payah sebut lagi sebab kita dah tahu atau yang kedua masukkan usul supaya saya boleh baca balik faktor yang membolehkan saya membuat keputusan supaya Pontian menjawab soalan berkenaan,” katanya.
Mohon maaf kerana kata ‘kencing’
Sebelum ini media melaporkan, Ahmad mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kekhilafan kata-katanya termasuk penggunaan perkataan ‘kencing’ dalam pantun ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat, kelmarin.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi sepucuk surat bertarikh 17 November lalu yang dialamatkan kepada Anwar dan dicop diterima Pejabat Perdana Menteri.
Menerusi surat berkenaan, Ahmad mengakui kekhilafan tersebut tidak sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran selain kesal atas ketidakselesaan yang timbul.
© New Straits Times Press (M) Bhd