LATEST

Lapan premis penyembelihan haram, kaut RM10,000 sehari

Lapan premis penyembelihan haram, kaut RM10,000 sehari

hafidzul@hmetro.com.my

Baca juga: Sudah tidak pakai oksigen, cuma tidak boleh berjalan atau bercakap banyak – Amir Raja Lawak

Kuala Lumpur: Tembelang sindiket penyembelihan haram yang didalangi pekerja bukan beragama Islam dan mengaut keuntungan hingga RM10,000 sehari sejak hampir empat tahun lalu terbongkar selepas polis menggempur lapan premis menerusi Op SALJU.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan serentak di lima buah negeri itu mendedahkan separuh daripada pusat penyembelihan berkenaan menggunakan khidmat pekerja bukan Muslim untuk menyembelih bekalan daging pasaran.

“Daripada lapan premis berkenaan, empat premis menggunakan pekerja bukan beragama Islam untuk melakukan penyembelihan, manakala empat premis lagi menggunakan pekerja beragama Islam.

“Dalam Islam, penyembelihan ini bukan sekadar memotong. Ia adalah ibadah dan mempunyai syarat wajib, antaranya penyembelih mestilah seorang Muslim, berakal, dan menyebut nama Allah SWT ketika menyembelih.

“Apabila penyembelihan dilakukan oleh mereka yang tidak memenuhi syarat ini, sembelihan itu tidak sah dan daging itu tidak halal. Apabila daging tidak halal ini masuk ke dalam pasaran, ia mengkhianati kepercayaan umat Islam. Ini bukan isu teknikal, ini adalah isu akidah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, siasatan mendapati rangkaian sindiket yang menggaji 55 pekerja dengan upah antara RM50 hingga RM200 sehari itu beroperasi secara tersembunyi sejak 2022 hingga tahun ini dengan meraih keuntungan harian mencecah RM1,500 sehingga RM10,000.

Mengulas lanjut skala operasi itu, Mohd Yusri berkata, seramai 745 anggota daripada 10 agensi penguatkuasaan digerakkan secara serentak di 13 negeri bagi memeriksa pasar raya, stor dan pusat penyembelihan yang disyaki terbabit.

“Hasilnya, kita memeriksa 161 individu dan menahan 96 daripada mereka untuk siasatan lanjut di bawah 15 akta berbeza. Nilai rampasan keseluruhan dalam operasi di pusat penyembelihan ini sebanyak RM2.44 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa rantaian pengedaran sindiket terbabit sudah diputuskan sepenuhnya dan pemantauan berterusan akan diperketat bersama agensi penguatkuasaan lain.

“Saya menyeru kepada masyarakat, jadilah mata dan telinga kami. Jika anda melihat premis penyembelihan yang mencurigakan dan beroperasi secara tersembunyi, laporkan kepada kami.

“Soal halal ini bukan soal satu agensi sahaja, ini adalah soal maruah umat Islam dan tanggungjawab kita bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news