LIVERPOOL: Kad merah Leny Yoro pada minit kelapan menjadi detik penting pada awal perlawanan pertama Mauricio Pochettino sebagai pengendali Manchester United.
Baca juga: Terucap terima kasih bukan tahniah, Azhan Rani mohon maaf
Insiden itu memberikan kelebihan besar kepada Liverpool di Anfield dan skuad kendalian Andoni Iraola memanfaatkan situasi terbabit dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh yang singkat.
Namun, adakah ia sepatutnya menjadi kad merah?
Adakah wujud alasan untuk video bantuan pengadil (VAR) mencadangkan supaya ia diturunkan kepada kad kuning?
Mari kita teliti insiden terbabit serta perkara yang diambil kira oleh pengadil sebelum melayangkan kad merah kerana menggagalkan peluang menjaringkan gol yang jelas.
Apakah yang berlaku dan apakah yang akan dipertimbangkan oleh pegawai perlawanan?
Ronald Araujo melorongkan bola jauh ke hadapan untuk dikejar oleh Alexander Isak, Isak melakukan satu sentuhan bola sebelum Yoro merempuh dari belakang pemain antarabangsa Sweden itu dan menjatuhkannya.
Pengadil, Sam Barrott tidak teragak-agak memberikan sepakan percuma dan melayangkan kad merah kepada Yoro.
Adakah terdapat keraguan bahawa Isak akan berjaya menguasai bola terbabit? Jika ya, ia sepatutnya sekadar amaran (kad kuning).
Terdapat empat pertimbangan utama bagi kesalahan menggagalkan peluang menjaringkan gol yang jelas iaitu jarak antara kesalahan dan pintu gol, arah permainan secara keseluruhan, kemungkinan mengekalkan atau mendapatkan penguasaan bola selain kedudukan dan jumlah pemain pertahanan serta penyerang
Memandangkan Isak sedang berlari terus ke arah gol di posisi tengah dan tiada pemain pertahanan yang melindunginya, tiga daripada faktor terbabit sudah dipenuhi.
Persoalannya tertumpu kepada ‘kemungkinan mengekalkan atau mendapatkan penguasaan bola.
Penyerang Liverpool itu melakukan sentuhan yang agak keras yang menggerakkan bola beberapa ela ke hadapannya.
Sentuhan itu berlaku sebelum adanya sentuhan daripada Yoro, jadi tiada alasan bahawa terjahan itu menyebabkan Isak gagal mengawal bola dengan kemas.
Oleh itu, pengadil dan pegawai VAR, John Brooks perlu menilai sama ada Isak pasti akan sampai ke bola terlebih dahulu berbanding Senne Lammens dan jika dia berjaya, adakah ia akan menjadi peluang menjaringkan gol yang baik.
Jika terdapat sebarang keraguan, maka ia tidak sepatutnya menjadi kad merah.
Ini adalah kes yang samar-samar dan justeru itu, VAR tidak dijangka akan campur tangan bagi kesalahan yang jelas dan nyata.
Begitu juga, jika pengadil melayangkan kad kuning, VAR tidak akan terbabit.
Bekas pemain tengah Liverpool dan England, Danny Murphy yang menjadi panel pengulas dalam rancangan ‘Match of the Day’ berkata ‘tiada keraguan’ mengenai keputusan kad merah terbabit.
Bekas pemain pertahanan Manchester United, Gary Neville turut bersetuju dengan keputusan itu.
“Leny Yoro perlu memberikan perlindungan pertahanan tetapi dia gagal melakukannya. Dia lambat bertindak balas dan jangkaannya lemah.
“Ia sangat janggal daripada Yoro. Itu sikap naif, dia memang perlu keluar padang. Keputusan itu tidak akan diubah, tiada peluang langsung,” kata Neville.
Adakah terdapat sebarang insiden yang serupa?
Terdapat beberapa kes yang sangat mirip pada musim ini iaitu pemain Brighton, Pascal Struijk dibuang padang ketika menentang Sunderland menerusi semakan VAR selepas dia menjatuhkan Wilson Isidor.
Skuad Seagulls berjaya membuat rayuan terhadap kad merah itu atas alasan wujud keraguan yang jelas bahawa Isidor akan dapat menguasai bola sebelum bola tersebut meluncur kepada penjaga gol, Bart Verbruggen.
Kedengaran agak serupa jadi bolehkah Manchester United membuat rayuan terhadap kad merah Yoro kerana tiada apa yang rugi jika mereka berbuat demikian?
Meskipun suruhanjaya kawal selia Persatuan Bolasepak (FA) sebulat suara memutuskan kad merah Struijk adalah satu kesilapan, panel insiden perlawanan utama Liga Perdana (PL) mengundi bahawa campur tangan VAR adalah keputusan yang tepat menerusi undian tipis 3-2.
Pemain Ipswich, Issa Diop terselamat daripada kad merah VAR bagi kesalahan terhadap James McAtee ketika menentang Nottingham Forest apabila pengadil tidak bersetuju dengan pegawai video dan percaya terdapat pemain pertahanan yang sedang melindunginya.
Pengurus Forest, Oliver Glasner bertegas bahawa itu adalah peluang menjaringkan gol yang jelas dan pengadil yang sama, Thomas Bramall mengadili kedua-dua insiden terbabit.
Ini menunjukkan betapa subjektifnya keputusan-keputusan seperti ini dan menyaksikan sering kali sukar untuk mendapatkan kata sepakat yang sebenar.
Yoro boleh menganggap dirinya sedikit kurang bernasib baik kerana menerima kad merah terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd