norhayati_nordin@hmetro.com.my
Baca juga: Amanat terakhir sebelum dijemput Ilahi: Keluarga terima ijazah penuntut UniKL maut akibat kanser
Kuala Lumpur: Kemunculan ‘Raja Pop’, Datuk Jamal Abdillah, 67, pada Majlis Jamuan Diraja Sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) menarik perhatian kira-kira 1500 tetamu.
Jamal tampil mendendangkan lagu popularnya iaitu Bunga Pujaan Senandung Semalam, Perjalananku dan Kau Lupa Pada Janji dengan vokal sangat mantap dalam majlis yang berlangsung di Dewan Matrade di sini, malam tadi.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat mencemar duli ke majlis itu.
Presiden PEKAP, Datuk Azman Shah Abdullah berkata, ditubuhkan pada 23 September 1966, PEKAP sudah berusia 60 tahun atas semangat persaudaraan anak-anak Pahang yang berhijrah ke ibu kota untuk mencari rezeki, menuntut ilmu dan membina kehidupan.
“Daripada asalnya, hasrat sederhana untuk saling mengenali dan membantu, lahirlah sebuah persatuan yang terus bertahan merentasi zaman selama enam dekad sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
“Kasih dan perhatian diberikan terhadap anak-anak Pahang di perantauan menjadi azimat untuk dihargai. Kni hubungan erat sudah terjalin lama itu terus mekar dengan turut menerima pelbagai sumbangan,” katanya.
Ujar Azman Shah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy merangkap Penasihat PEKAP menyalurkan sumbangan sebanyak RM150,000 atas keprihatinan bagi menjayakan sambutan Jubli Intan berkenaan.
Katanya lagi, menerusi sokongan diberikan itu bukan sahaja membantu menjayakan sambutan majlis dengan lancar, malah mencerminkan betapa keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan anak-anak Pahang di ibu kota.
Selain Jamal, barisan penyanyi undangan lain ialah Datuk Tarmimi Siregar, Roslan Madun, Orked Farhan, Qierra Saari, Haikal Farid, Jeffry Don, Keroz Nazri dengan diiringi Combo Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Justeru, Orked Farhan tampil menghiburkan tetamu dengan lagu seperti Rindu Bayangan, I Will Survive, dan duet bersama Roslan, dengan lagu Gurindam Jiwa.
Roslan juga tampil menyanyikan lagu popularnya, Lemak Manis, Tarmimi muncul (lagu Tinggi Gunung Seribu Janji), Haikal Farid (lagu Aku Klasik, Dealova) serta Qierra (lagu Dia dan Die With A Smile).
© New Straits Times Press (M) Bhd