KUALA LUMPUR – Pengurusan terdahulu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakwa gagal mengambil tindakan terhadap aduan konflik kepentingan sehingga berlaku pertukaran kepimpinan institusi pendidikan itu.Dapatan tersebut diperoleh menerusi prosiding siasatan yang dijalankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap kutipan hasil yuran dan perbelanjaan universiti berkenaan.Prosiding itu dilaksanakan jawatankuasa berkenaan antara 29 Jun hingga 16 Julai lalu melibatkan pegawai kanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), UKM, Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) serta bekas pegawai pengurusan universiti berkenaanIa susulan pendedahan ketidakteraturan serius tadbir urus kewangan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape).Menurut Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, pengabaian itu menyebabkan tiada tindakan diambil terhadap pihak terlibat.”Aduan tersebut dikemukakan pada 14 Mac 2025 dan membangkitkan kebimbangan mengenai empat kakitangan UKMShape yang terlibat dalam kerjasama dengan KSBB, selain lima individu lain yang mempunyai kaitan dengan bekas pengarah pusat berkenaan.”Melalui penelitian dokumen dan juga keterangan saksi, PAC telah pun membuat rumusan bahawa berlakunya pengabaian terhadap aduan konflik kepentingan yang tidak diambil tindakan oleh pentadbiran lama UKM selama hampir lapan bulan, sehinggalah kepimpinan baharu memulakan siasatan dalaman,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen di sini pada Isnin.Mas Ermieyati menambah, PAC dalam masa sama turut mempersoalkan kebebasan Jawatankuasa Siasatan Dalaman (JKSD) UKM yang ahlinya dilantik secara langsung oleh naib canselor.Siasatan awal katanya, hanya tertumpu kepada pegawai bawahan tanpa melibatkan pembuat keputusan utama, termasuk bekas naib canselor, namun skopnya kini diperluas untuk merangkumi pegawai kanan berkaitan.Beliau menambah, panel siasatan bebas bagi menangani ketidakteraturan serius pada masa depan perlu dilantik oleh Lembaga Pengarah Univeristi (LPU) atau KPT, bukannya naib canselor.”Skop siasatan wajib merangkumi rantaian arahan di peringkat pengurusan tertinggi,” tegasnya.Dalam pada itu, PAC turut mengkritik LPU kerana meluluskan perjanjian atas andaian semakan rapi dijalankan di peringkat bawahan, selain bergantung kepada kehadiran wakil Kementerian Kewangan (MoF) tanpa memastikan kelulusan rasmi kementerian diperoleh.”LPU tidak lagi boleh bertindak sekadar sebagai pengesah terakhir iaitu rubber stamp,” katanyaDalam pada itu, dapatan prosiding tersebut turut mendedahkan pegawai undang-undang UKM didakwa ditawarkan wang tunai dan tajaan percutian ke luar negara bagi mempercepatkan semakan kontrak.Menurut Mas Ermieyati, Pejabat Penasihat Undang-undang UKM didakwa menerima tekanan berterusan, termasuk permintaan supaya pegawainya bekerja pada hujung minggu bagi membolehkan kontrak tertentu memotong giliran semakan undang-undang.”SPRM hendaklah menyiasat dan mendakwa pihak yang terlibat dalam cubaan memberikan suapan wang tunai dan tajaan percutian bagi memotong giliran fail semakan di pejabat Penasihat Undang-undang,” katanya.Sementara itu, PAC turut mengemukakan 10 syor utama antaranya memperkukuhkan perlindungan pemberi maklumat dengan KPT dan UKM wajib menyediakan saluran aduan telus.Selain itu katanya, memperkasakan kawalan kelulusan kontrak dengan memastikan memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) mempunyai implikasi kewangan dan dasar, di bawa untuk kelulusan LPU, KPT dan MoF sebelum dimeterai.”Kutipan yuran oleh pihak ketiga perlu dihentikan. KPT dan semua universiti awam perlu melarang entiti atau syarikat luar mengutip yuran pengajian, sebaliknya semua kutipan hasil perlu dimasukkan terus ke akaun rasmi Jabatan Bendahari universiti secara berstatutori.”LPU tidak boleh bertindak sekadar pengesah akhir, manakala wakil MoF dalam LPU perlu memainkan peranan proaktif menyemak pematuhan Pekeliling Perbendaharaan sebelum cadangan diluluskan,” katanya.Selain itu ujar Mas Ermieyati, UKM dan KSBB juga perlu menjalankan audit pelarasan akaun secara telus bagi memuktamadkan baki tuntutan sebenar kedua-dua belah pihak serta meneruskan tuntutan undang-undang yang sedang berlangsung.
PAC dedah aduan konflik kepentingan di UKM diabaikan hampir 8 bulan
Malay News | https://www.malay.news/pac-dedah-aduan-konflik-kepentingan-di-ukm-diabaikan-hampir-8-bulan/