LATEST
National

Bursa Malaysia jatuh diasak tekanan jualan berterusan saham wajaran tinggi

Bursa Malaysia jatuh diasak tekanan jualan berterusan saham wajaran tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin berikutan tekanan jualan berterusan terhadap beberapa saham berwajaran tinggi, khususnya dalam sektor utiliti, yang terus menjejaskan sentimen pasaran.

Baca juga: Kek Perkahwinan Tiada Kotak, Pandu 20km/j Selama 45 Minit

Tenaga Nasional susut 22 sen kepada RM12.46, YTL Power International merosot empat sen kepada RM3.91, manakala YTL Corporation turun sembilan sen kepada RM1.61.

Pada jam 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 7.46 mata atau 0.47 peratus kepada 1,549.05 berbanding 1,556.51 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Indeks penanda aras itu dibuka 9.07 mata lebih rendah kepada 1,547.44 dan bergerak antara 1,544.96 hingga 1,555.25 sepanjang sesi dagangan.

Keluasan pasaran kekal negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 849 berbanding 293, manakala 457 kaunter tidak berubah, 1,242 tidak diniagakan dan 32 digantung dagangan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.11 bilion unit bernilai RM2.81 bilion berbanding 3.64 bilion unit bernilai RM2.99 bilion pada Jumaat lalu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata kaunter teknologi mencatatkan lantunan teknikal sederhana susulan pembetulan ketara sebelum ini.

Namun pemulihan itu katanya masih belum mencukupi untuk menunjukkan peningkatan menyeluruh dalam sentimen pelabur.

“Walaupun saham teknologi pulih sedikit pada dagangan sebelah petang, kami berpendapat lantunan itu lebih bersifat teknikal dan bukannya petunjuk kepada penambahbaikan sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.

Pak Leng berkata, daya tahan relatif saham berwajaran tinggi sektor perbankan sedikit sebanyak memberikan keyakinan, selain asas ekonomi Malaysia yang kekal kukuh.

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan volatiliti pasaran berterusan apabila pelabur menilai semula prospek sektor teknologi global serta hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

“Walaupun lantunan teknikal secara berselang-seli tidak boleh diketepikan, pemulihan yang mampan memerlukan penyertaan pembelian lebih kukuh serta penyusutan tekanan jualan dalam sektor pembinaan dan saham berwajaran tinggi indeks yang lain,” katanya.

Maybank meningkat dua sen kepada RM9.89, manakala Public Bank dan CIMB masing-masing menambah satu sen kepada RM4.50 dan RM7.05.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi lain, IHH Healthcare dan Press Metal Aluminium masing-masing menokok tiga sen kepada RM7.93 dan RM6.30.

Hong Leong Bank susut 18 sen kepada RM20.92, SD Guthrie berkurangan enam sen kepada RM5.85, manakala Petronas Gas meningkat enam sen kepada RM17.30.

Bagi kaunter paling aktif, Dagang NeXchange susut 1.5 sen kepada 40.5 sen, Nationgate merosot empat sen kepada RM1.44, CBH Engineering turun 3.5 sen kepada 59 sen, V.S Industry berkurangan setengah sen kepada 24 sen, manakala MAG Holdings tidak berubah pada 16 sen.

Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.44 kepada RM35.20, Mega Fortris meningkat 23 sen kepada RM1.53, UWC menambah 22 sen kepada RM5.65, MISC naik 12 sen kepada RM7.68, manakala Far East Holdings meningkat 10 sen kepada RM4.00.

Nestle mengetuai senarai kaunter rugi apabila susut RM1.70 kepada RM93, diikuti Kuala Lumpur Kepong yang merosot 62 sen kepada RM20.46, Fraser & Neave turun 38 sen kepada RM19.38, Sunway Construction berkurangan 37 sen kepada RM6.55 dan UMS Integration susut 35 sen kepada RM5.85.

Dalam pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas merosot 75.41 mata kepada 11,416.45, Indeks FBM Top 100 susut 71.93 mata kepada 11,268.89, manakala Indeks FBM ACE turun 121.99 mata kepada 4,696.82.

Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 110.67 mata kepada 11,288.57, manakala Indeks FBM Mid 70 susut 177.57 mata kepada 16,102.26.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 120.72 mata kepada 8,567.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.94 mata kepada 158.28, Indeks Tenaga susut 5.37 mata kepada 733.95, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 7.49 mata kepada 18,295.91.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.52 bilion unit bernilai RM2.49 bilion berbanding 1.46 bilion unit bernilai RM2.17 bilion pada Jumaat lalu.

Jumlah dagangan waran berkembang kepada 1.09 bilion unit bernilai RM121.08 juta berbanding 972.65 juta unit bernilai RM124.68 juta sebelum ini.

Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 487.97 juta unit bernilai RM198.33 juta berbanding 460.48 juta unit bernilai RM164.93 juta pada Jumaat lalu.

Mengikut pecahan sektor di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan dagangan sebanyak 262.46 juta saham, produk dan perkhidmatan perindustrian (323.46 juta), pembinaan (110.33 juta), teknologi (274.43 juta), perkhidmatan kewangan (69.73 juta), hartanah (102.31 juta), perladangan (35.78 juta), amanah pelaburan hartanah (9.27 juta), dana tertutup (79,200), tenaga (96.99 juta), penjagaan kesihatan (85.90 juta), telekomunikasi dan media (18.83 juta), pengangkutan dan logistik (43.97 juta), utiliti (94.25 juta) serta amanah perniagaan (3,200).

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news