RANTAU PANJANG: Tumpat dan Pengkalan Chepa dijangka antara kawasan paling terjejas susulan fenomena air pasang besar yang diramalkan berlaku pada Khamis dan Jumaat ini.
Baca juga: Langgar Anggota JPJ Elak SJR, Tiga Remaja Ditahan Di Miri
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd Fadhlizil Ikram Ahmad Pauzi, berkata fenomena itu boleh menjejaskan aliran air dan meningkatkan risiko banjir, terutama di kawasan rendah serta kawasan yang sering dilanda banjir.
Beliau berkata, pihaknya sedang memantau rapi pergerakan pasang surut air laut dan paras air, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko.
“Rondaan berkala di kawasan berisiko tinggi, terutama di Tumpat dan Pengkalan Chepa, akan dipertingkatkan bagi memantau keadaan semasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Fadhlizil berkata, semua balai bomba dan penyelamat di negeri ini turut berada dalam tahap kesiapsiagaan maksimum dari segi kekuatan anggota dan sokongan logistik bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan.
“Pemantauan akan memberi tumpuan kepada tiga lembangan sungai utama di negeri ini, iaitu Lembangan Sungai Kelantan, Sungai Golok dan Sungai Semerak.
“Paras air di sungai berkenaan akan dipantau secara berkala bagi menilai keadaan semasa dan membolehkan jabatan mengambil tindakan segera sekiranya perlu,” katanya.
Sementara itu, bacaan di portal Infobanjir menunjukkan semua sungai di Kelantan masih berada pada paras normal setakat jam 8 malam ini.
Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi amaran empat daerah di Kelantan berkemungkinan dilanda banjir bermula esok hingga 27 November ini.
Daerah terbabit ialah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat.
© New Straits Times Press (M) Bhd