LATEST

Khemah penduduk Gaza dikepung lubang kumbahan

Khemah penduduk Gaza dikepung lubang kumbahan

LONDON: Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza terpaksa menggali lubang kumbahan sementara berhampiran khemah dan rumah yang rosak susulan kemusnahan sistem pembetungan akibat serangan Israel.

Tindakan itu  menyebabkan keluarga terdedah kepada air sisa tidak dirawat dengan beberapa kanak-kanak dan golongan muda dilaporkan terjatuh ke dalam lubang berkenaan sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan, lapor agensi berita Palestin, WAFA.

Baca juga: Dibelasah Liverpool, tiada cuti buat bintang United

Kemusnahan perkhidmatan sanitasi sepanjang kempen ketenteraan Israel yang bermula pada Oktober 2023 susulan serangan diketuai Hamas menyebabkan air kumbahan bertakung di sekitar kawasan penempatan sementara yang sesak, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap penularan penyakit dan pencemaran air bawah tanah.

Penduduk memberitahu WAFA, lubang kumbahan itu dipenuhi sisa najis dengan pantas, memerlukan kos tinggi untuk dikosongkan dan berisiko melimpah ketika hujan lebat pada musim sejuk.

“Keluarga kami tidak mampu membayar perkhidmatan lori tangki kumbahan untuk mengosongkan lubang berkenaan dan terpaksa menggali lubang baharu setiap kali lubang lama penuh.

“Masalah ini terus berulang dan kami seolah-olah hidup di atas kawasan bertakung yang dipenuhi kumbahan, air buangan dapur serta air daripada aktiviti membasuh dan mandi,” kata seorang penduduk, Mahmoud Abdel Nabi.

Menurut Mahmoud, beberapa anggota keluarganya mengalami masalah kulit dan pernafasan yang menurutnya berpunca daripada keadaan persekitaran lembab serta tercemar.

Kesemua lima loji rawatan air sisa utama di Gaza tidak lagi beroperasi, manakala hanya 18 daripada 74 stesen pam kumbahan masih berfungsi sebahagiannya, menurut angka Pihak Berkuasa Air Palestin.

Pihak berkuasa itu berkata, lebih 80 peratus infrastruktur air dan kira-kira 700 kilometer rangkaian pembetungan musnah.

Peratusan penduduk yang mendapat perkhidmatan rangkaian pembetungan turut merosot daripada lebih 85 peratus kepada kira-kira 45 peratus.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 55,000 meter padu air kumbahan tidak dirawat dilepaskan setiap hari di seluruh Gaza.- AGENSI

The post Khemah penduduk Gaza dikepung lubang kumbahan appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news