LATEST

‘Biar guru fokus mendidik’ – Asyraf Wajdi syor pesara ATM, PDRM isi jawatan warden asrama

‘Biar guru fokus mendidik’ – Asyraf Wajdi syor pesara ATM, PDRM isi jawatan warden asrama

am@hmetro.com.my

Baca juga: Sanggup bayar RM6,000, warga Myanmar pertaruh nyawa bayi 9 bulan demi cari kerja di Malaysia

Kuala Lumpur: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) melantik guru lebihan yang belum mendapat penempatan sebagai warden asrama.

Sebaliknya, beliau berpandangan kerajaan wajar mempertimbangkan pengambilan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai pengalaman serta latihan dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan untuk mengisi jawatan berkenaan.

Katanya, tugas menjaga keselamatan dan kebajikan penghuni asrama memerlukan kemahiran khusus, termasuk pengendalian kecemasan, pencegahan buli, pengurusan konflik, perlindungan kanak-kanak serta pengawasan secara berjadual.

“Pelantikan guru lebihan tidak semestinya menjamin mereka mempunyai kompetensi khusus untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warden asrama.

“Lebih baik guru memberi tumpuan kepada tugas hakiki mereka iaitu mendidik, manakala tanggungjawab menjaga keselamatan dan pengurusan asrama diserahkan kepada individu yang mempunyai latihan serta kemahiran bersesuaian,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya, malam ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan KPM membangunkan laluan kerjaya warden profesional sepenuh masa yang dilengkapi latihan khusus, standard prestasi serta mekanisme akauntabiliti yang jelas.

Katanya, Malaysia mempunyai sumber tenaga berpotensi dalam kalangan pesara ATM dan PDRM yang boleh dipertimbangkan untuk mengisi jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, calon daripada kalangan pesara pasukan keselamatan itu perlu melalui tapisan latar belakang serta penilaian kesesuaian sebelum dilantik, khususnya bagi memastikan mereka mampu bekerja dengan golongan remaja.

“Mereka juga perlu diberikan latihan tambahan merangkumi aspek pedagogi, psikologi dan perlindungan kanak-kanak bagi memastikan pendekatan pengurusan asrama bukan sekadar berteraskan disiplin dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman pesara pasukan keselamatan dalam aspek disiplin dan pengurusan keselamatan boleh dimanfaatkan, namun ia tidak bermakna semua pesara secara automatik sesuai dilantik sebagai warden.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news