am@hmetro.com.my
Baca juga: Aliff Syukri Dedah Pernah Dirompak, Sorok Kunci Kereta Dalam Seluar Dalam
Tumpat: Terdesak untuk membina semula kehidupannya selepas bercerai, seorang wanita warga Myanmar sanggup mempertaruhkan nyawa membawa anak perempuannya yang berusia sembilan bulan menempuh perjalanan berbahaya ke Malaysia demi mencari pekerjaan.
Wanita berusia 31 tahun itu dipercayai membayar sebanyak RM6,000 kepada ejen untuk menyeludup dia dan bayinya masuk ke negara ini melalui sempadan Thailand-Malaysia.
Bagaimanapun, perjalanan mereka berakhir selepas ditahan oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu operasi semalam.
Ibu dan bayinya itu antara lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di hadapan Sekolah Kebangsaan Neting, berhampiran Pengkalan Kubor, di sini.
Wanita yang merancang untuk ke Kuala Lumpur bagi mencari pekerjaan itu dipercayai akan menaiki bas dari Melor, di sini.
“Saya terpaksa datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan selepas bercerai dengan suami baru-baru ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun menyedari risiko perjalanan itu, dia tetap memilih untuk membawa bayi perempuannya bersama-sama.
Sementara itu, Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata kumpulan berkenaan memasuki Kelantan dari Tak Bai, Thailand, melalui Pantai Geting.
“Mereka menaiki sebuah Perodua Myvi ketika ditahan jam 5 pagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd