LATEST
National

Maresca tenang hadapi kemarau kemenangan City

Maresca tenang hadapi kemarau kemenangan City

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Enzo Maresca berkata pasukannya masih menyesuaikan diri dengan era baharu selepas kendalian sedekad bekas pengurus, Pep Guardiola menjelang aksi Liga Juara-Juara berdepan Napoli, awal pagi Rabu ini.

Baca juga: Bayi enam bulan parah diserang monyet di Paya Jaras Hilir

City hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL), mencatat keputusan seri 1-1 dengan Fulham selepas tewas kepada Aston Villa, Brighton & Hove Albion serta Nottingham Forest pada musim pertama Maresca sebagai pengurus.

“Ia tidak rumit. Bagi saya, ia adalah sebahagian daripada proses; ini ibarat satu penetapan semula dan permulaan baharu selepas 10 tahun bersama pengurus yang sama, wajah yang sama, kata-kata yang sama, kaedah yang sama.

“Bukan mudah untuk berubah secara tiba-tiba,” kata Maresca yang pernah berkhidmat sebagai penolong Guardiola kepada pemberita pada Isnin.

“Kami berharap dapat menemui keseimbangan yang tepat dan menjadi lebih konsisten secepat mungkin.”

Mengenai perkembangan kecederaan, pengendali dari Itali itu memaklumkan pemain tengah, Matheus Nunes bersedia untuk diturunkan menentang Napoli.

Bagaimanapun, pemain sayap, Antoine Semenyo masih tidak dapat beraksi akibat kecederaan lutut dengan Maresca menjangkakan beliau akan diketepikan untuk beberapa minggu lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news