WASHINGTON: Jensen Huang kembali menerajui Nvidia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), lebih seminggu selepas meletakkan jawatan susulan kontroversi hubungan sulit, termasuk dakwaan menjalin hubungan dengan seorang individu yang dikatakan pengintip China.
Pada Isnin, lembaga pengarah Nvidia melantik semula Huang sebagai Presiden, CEO dan anggota lembaga pengarah syarikat itu.
Baca juga: Hasrat masak untuk hari lahir anak tak kesampaian, wanita maut motosikal terbabas
“Saya berbesar hati untuk kembali ke Nvidia dan menerajui salah satu syarikat teknologi paling berpengaruh di dunia ketika bermulanya revolusi industri baharu.
“Saya menerima tanggungjawab ini dengan penuh rendah diri dan komitmen yang diperbaharui. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada lembaga pengarah Nvidia atas kepercayaan dan pertimbangan mereka sepanjang proses ini,” kata Huang dalam kenyataan ketika syarikat itu mengumumkan kepulangannya.
Nvidia memaklumkan Colette Kress, yang sebelum ini menjalankan tugas sebagai CEO sementara, akan kekal sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO).
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut menyambut baik keputusan itu menerusi hantaran di media sosial.
“Lembaga Pengarah Nvidia telah membuat keputusan yang tepat dan wajar untuk mengembalikan Jensen Huang ke jawatan CEO,” katanya.
Trump turut menegaskan kerajaan AS tidak mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa kepulangan Huang ke Nvidia boleh menimbulkan sebarang risiko terhadap keselamatan negara.
Huang meletak jawatan pada 12 November lalu, sekali gus mencetuskan bantahan segera dalam kalangan tokoh industri teknologi Silicon Valley.
Dalam tempoh beberapa hari, satu petisyen yang menggesa beliau kembali menerajui syarikat itu berjaya mengumpulkan lebih 180,000 tandatangan, termasuk sokongan daripada Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla, Elon Musk.
Pelantikan semula Huang dibuat ketika beberapa siasatan terhadap syarikat pengeluar cip itu masih berjalan, termasuk oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) serta Jabatan Kehakiman (DOJ).
Saham Nvidia melonjak lebih 33 peratus selepas pasaran saham AS dibuka pada Isnin susulan pengumuman kepulangan Huang.-AGENSI
The post Lembaga pengarah Nvidia lantik semula Jensen Huang sebagai CEO appeared first on Utusan Malaysia.