LATEST

OKU penglihatan perlu diberi peluang, lihat potensiOleh Noor Hidayah Tanzizi

OKU penglihatan perlu diberi peluang, lihat potensiOleh Noor Hidayah Tanzizi

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Baca juga: Kitacon menang kontrak RM100.8 juta bina rumah teres dua tingkat di Seremban

Kuala Lumpur: Sektor korporat digesa memberi sokongan kepada orang kurang upaya (OKU) penglihatan dengan membuka peluang pekerjaan, menyediakan latihan serta dan memberi layanan adil.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, syarikat korporat jangan sekadar memberi bantuan kebajikan kepada OKU penglihatan tetapi tidak membuka peluang kepada kumpulan itu.

Beliau berkata, melalui ‘pintu’ Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), OKU diltaih dan kini ada yang bergelar guru, pensyarah, peguam, pemuzik, ahli terapi, usahawan, profesional teknologi maklumat dan pemimpin masyarakat.

Katanya, ini membuktikan kebutaan bukan suatu ketidakupayaan.

“Sokongan anda terhadap MAB bukanlah amal kebajikan, ia adalah pelaburan dalam potensi manusia. Bukalah peluang kepada bakat dalam kalangan individu kurang upaya penglihatan.

“Ambil mereka bekerja, latih mereka dan berikan peluang yang adil. Anda akan mendapati mereka mempunyai dedikasi, daya tahan dan kemahiran,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Gala Amal Ulang Tahun ke-75 MAB ‘Night of Brilliance’, di sini, malam ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Presiden MAB, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar.

Nancy berkata, berdasarkan statistik pendaftaran JKM setakat 31 Oktober lalu, seramai 71,441 individu berdaftar sebagai OKU ketidakupayaan penglihatan, mewakili 8.16 peratus daripada keseluruhan 875,840 OKU berdaftar.

Beliau berkata, daripada jumlah ini, seramai 45,375 adalah lelaki dan 26,066 adalah wanita, manakala 30,899 orang (43.2 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas.

“Ini menunjukkan peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan yang mudah diakses, sokongan mobiliti, teknologi bantuan dan program kehidupan berdikari,” katanya.

Menurutnya, Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU), baru-baru ini meluluskan penubuhan subkategori Orang Kurang Upaya Penglihatan dan Pendengaran (Deaf-Blind) di bawah kategori Kurang Upaya Pelbagai.

Ia adalah pencapaian penting, khususnya bagi individu dengan ketidakupayaan penglihatan dan pendengaran yang sebelum ini tidak mempunyai data pendaftaran khusus dan tersendiri.

Melalui inisiatif ini, jurang data sedia ada akan ditangani, sekali gus membolehkan keperluan komuniti ini dikenal pasti dengan lebih baik serta memastikan perancangan, pembangunan, sokongan kebajikan dan perlindungan hak mereka lebih bersasar.

Pada majlis itu, Nancy turut merasmikan pelancaran Koleksi Setem Kenang-kenangan dan Sampul Surat Hari Pertama Ulang Tahun ke-75 MAB yang dihasilkan dengan kerjasama Pos Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news