am@hmetro.com.my
Baca juga: Ibu maut kemalangan selepas beli bahan masakan sambutan hari jadi anak
Tumpat: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan ditemukan bersesak di dalam sebuah kereta ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini, semalam.
Bagaimanapun, kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang tekong tempatan itu terbabas dan melanggar penghadang jalan ketika cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, kejadian berlaku jam 5 pagi ketika Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) sedang menjalankan rondaan di Kampung Neting, Pengkalan Kubor.
“Pasukan rondaan mengesan sebuah Perodua Myvi yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya bertindak memecut untuk melarikan diri.
“Kenderaan itu kemudian terbabas lalu melanggar penghadang jalan, manakala pemandunya yang berusia 34 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dalam kereta itu menemukan lapan warga Myanmar terdiri daripada tiga lelaki dan lima perempuan berusia antara 18 sehingga 31 tahun termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan.
Mohd Khairi berkata, kesemua pati itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Tumpat di talian 09-7252482 atau hadir di balai polis berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd