LATEST

362 prospek penjara ikuti program pendidikan, dua hingga peringkat PHD

362 prospek penjara ikuti program pendidikan, dua hingga peringkat PHD

Kajang: Dua prospek Jabatan Penjara Malaysia sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) daripada keseluruhan 362 yang mengikuti program pendidikan bermula daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Baca juga: Malaysia-Indonesia teliti program Desa Berkembar, beri peluang usahawan dua negara

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan) yang menjalankan tugas Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Zaidi Hamid berkata kedua-dua calon dijangka menamatkan pengajian dalam tempoh terdekat dan diharap dapat mengikuti jejak langkah Dr Malik Yatam yang memperoleh PhD ketika menjalani hukuman penjara.

“Jabatan Penjara sentiasa memberi ruang dan peluang serta menyediakan kemudahan untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi memajukan pendidikan dalam kalangan prospek,” katanya kepada pemberita selepas Program Inspira Koreksional di Penjara Kajang di sini hari ini.

Beliau berkata pendidikan yang disediakan kepada prospek setara situasi di luar penjara, dengan pensyarah dari institusi pengajian tinggi hadir mengikut jadual tertentu untuk memberikan kuliah, bimbingan dan penyeliaan.

“Semasa penyeliaan, segala keperluan dan bantuan diberikan oleh pihak universiti bagi membolehkan mereka menyiapkan tugasan serta penyelidikan di dalam penjara,” katanya.

Zaidi berkata antara institusi pengajian tinggi yang menjalin kerjasama dengan Jabatan Penjara ialah Open University Malaysia (OUM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan City University Malaysia.

Beliau berkata Program Inspira Koreksional dianjurkan bagi menghargai prospek yang berjaya melanjutkan pendidikan hingga ke peringkat tertinggi ketika menjalani hukuman penjara, selain menyuntik semangat kepada prospek lain untuk mencontohi kejayaan mereka.

Zaidi berkata program itu turut menampilkan Malik yang berkongsi pengalaman dengan 200 prospek di Penjara Kajang, khususnya mereka yang sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.

“Dr Malik berjaya menamatkan pendidikan dari peringkat SPM hingga PhD dan kini menjadi motivator bukan sahaja kepada prospek dalam penjara malah masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata pengalaman Malik turut dikongsi menerusi buku PhD dari Penjara yang menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat luar, pegawai dan anggota penjara serta pelajar sekolah.

“Jabatan Penjara berharap dua calon PhD ini juga dapat memperoleh peluang dan kejayaan seperti Malik sebagai bukti perubahan diri melalui pendidikan sepanjang menjalani hukuman… kita juga berharap mereka mengikuti jejak langkah Dr Malik Yatam (yang mendapat pengampunan diraja),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news