KUALA LUMPUR: Pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) khususnya Bahagian Pendidikan Menengah sudah diarahkan mengambil tindakan segera berhubung aduan penyediaan makanan tidak memuaskan di Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba.
Baca juga: Kitacon menang kontrak RM100.8 juta bina rumah teres dua tingkat di Seremban
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab berhubung penyediaan makanan di sekolah itu.
Katanya, beliau sudah meminta Pengetua segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas malam ini juga.
“Kasihan anak-anak pelajar yang bukan ramai berkemampuan untuk beli makanan alternatif di kafe atau koperasi, apatah lagi buat pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang sedang menduduki peperiksaan SPM.
“Saya cukup marah dan amat terkesan apabila membaca Whatsapp dan mesej peribadi di ruangan media sosial sebentar tadi.
“Ada beberapa pelajar dan ibubapa dari MRSM Tun Ghafar Baba Melaka yang hubungi saya mengadu berkenaan penyediaan makanan di Dewan Selera petang tadi tidak memuaskan kerana ada ayam yang tidak dimasak dengan sempurna.
“Apabila saya minta pengurusan semak, rupanya kontrak penyedia makanan hanya berbaki sebulan sahaja lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Asyraf berkata, semacam satu ‘trend’ apabila satu-satu kontrak sudah hampir tamat tempoh, maka penyedia makanan semacam mengabaikan kualiti makanan yang disediakan.
Katanya, baru beberapa minggu lalu beliau melakukan pemeriksaan di MRSM itu dan memberi amaran kepada Penyelia Dewan Selera agar pastikan kualiti makanan yang disediakan menepati piawai yang MARA tetapkan.
“Ini soal kebajikan pelajar yang saya tidak boleh tolak ansur. Malah kontraktor makanan boleh dikenakan penalti dan akan disenarai hitamkan daripada mendapat apa-apa manfaat MARA pada masa akan datang.
“Ingatlah keuntungan yang diperoleh daripada hasil yang curang dan menyimpang tidak akan pernah punya keberkatan, malah menjadi sebab kepada kecelaruan dan kesengsaraan hidup berterusan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd