am@hmetro.com.my
Baca juga: OKU penglihatan perlu diberi peluang, lihat potensiOleh Noor Hidayah Tanzizi
Kuala Lumpur: Malaysia akan memperincikan cadangan Program Desa Berkembar atau Sister Village bersama Indonesia bagi membuka peluang kepada usahawan serta koperasi desa kedua-dua negara mengembangkan produk dan menembusi pasaran lebih luas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata inisiatif itu antara kerjasama praktikal yang akan diberi tumpuan susulan lawatan kerjanya ke Bali bermula hari ini.
“Insya-Allah, esok saya akan mengadakan pertemuan dua hala bersama Kementerian Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia bagi membincangkan langkah susulan pelaksanaan MoU berkenaan, termasuk pengukuhan koperasi dan keusahawanan desa.
“Saya berharap kerjasama ini dapat diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai masyarakat desa, sama ada melalui peningkatan pendapatan, peluasan pasaran, pembangunan modal insan mahupun pemerkasaan komuniti secara menyeluruh.
“Doakan supaya segala urusan sepanjang lawatan ini dipermudahkan dan mencapai matlamat yang dihasratkan,” katanya dalam Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan, ketika lawatan kerjanya itu beliau juga sempat bertemu dengan Wakil Menteri Desa dan Pembangunan Daerah Tertinggal Republik Indonesia, Ir H Ahmad Riza Patria dan Sekretaris Daerah Provinsi Bali, Dr Dewa Made Indra dalam satu majlis makan malam.
Katanya, lawatan kerja beliau ke Bali kali ini adalah kesinambungan pertemuan pada September lalu bagi memastikan persefahaman dicapai diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
“Tumpuan kali ini adalah untuk menterjemahkan persefahaman berkenaan kepada kerjasama yang lebih praktikal dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat desa di kedua-dua negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd