LATEST

Air deras mengalir dari cerun di Taman Seri Rambai, penduduk trauma tragedi Oktober berulang

Air deras mengalir dari cerun di Taman Seri Rambai, penduduk trauma tragedi Oktober berulang

am@hmetro.com.my

Baca juga: Anwar terima Anugerah Ijazah Sanad Hadis Khas dari Mufti Besar India

Georgetown: Hujan lebat selama lebih sejam menyebabkan limpahan air dari kawasan cerun di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini, mengalir ke rumah penduduk berhampiran.

Keadaan itu membimbangkan penduduk terutama penghuni yang tinggal berhampiran dengan rumah mangsa yang maut dalam kejadian cerun runtuh pada Oktober lalu.

Penduduk, Teh Kian Hui, 34, berkata, beliau bimbang apabila melihat air mengalir deras berwarna seakan ‘teh tarik’ di hadapan rumahnya yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah mangsa kejadian tanah runtuh Oktober lalu.

Katanya, kali ini, air mengalir deras dari rumah kedua iaitu yang terletak bersebelahan dengan rumah mangsa runtuhan.

“Saya menyedari kejadian selepas menerima video rakaman CCTV (kamera litar tertutup) daripada jiran kira-kira jam 8 malam.

“Selepas kejadian cerun runtuh, boleh dikatakan kali ini ‘paling teruk’. Saya keluar dari rumah bagi meninjau keadaan sebelum mendapati beberapa jiran terdekat juga lakukan hal sama,” katanya ketika ditemui hari ini.

Teh berkata, dia berharap kerajaan negeri bersama pemaju mencari penyelesaian segera bagi mengatasi kejadian ini.

“Rumah adalah tempat paling selamat tetapi sejak kejadian tanah runtuh, kami tidak lena tidur terutama jika hujan lebat, lebih lagi kini dan memasuki monsun timur laut,” katanya.

Tinjauan di lokasi mendapati air masih mengalir pada jam 9 malam dan reda setengah jam kemudian.

Terdapat pondok pengawal ditempatkan di hadapan rumah mangsa runtuhan cerun.

Difahamkan pengawal keselamatan terbabit terjatuh ketika air deras ketika melakukan pemeriksaan sekitar, namun tidak mengalami kecederaan.

​ Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia antara penghuni yang diarah berpindah susulan kejadian cerun runtuh.

Katanya, dia menerima video kiriman jirannya menerusi aplikasi WhatsApp pada jam 8 malam, memaklumkan mengenai air yang memasuki perkarangan rumahnya.

“Air dari cerun berkenaan mengalir deras dari rumah jiran dan memasuki perkarangan rumah saya. Saya datang ke sini bagi memeriksa keadaan itu.

“Sebelum ini tiada masalah. Namun, saya tidak pasti apa tindakan pemaju sehingga air mengalir ke arah sini (ke arah rumahnya) pula,” katanya.

Dalam kejadian Oktober lalu, Dr Wong Kar Lin, 73, ditemukan maut selepas bahagian belakang rumahnya ditimpa runtuhan tanah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news