am@hmetro.com.my
Baca juga: Kerajaan selesai bayar balik lebihan cukai RM20.27 bilion libatkan 3.65 juta kes – HASiL
Sungai Petani: Identiti dua individu yang maut dalam kemalangan di Kilometer 102 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini sudah dikenal pasti.
Kedua-duanya dikenali sebagai Yeong Hon Min, 75, iaitu lelaki warga emas yang menunggang motosikal manakala pemboncengnya wanita warga emas, Wong Lee Ying, 67.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua mangsa yang maut itu beralamat di Subang Jaya, Selangor.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, motosikal yang dinaiki mereka terbabas ke kanan jalan sebelum dilanggar kenderaan dari arah yang sama.
“Kedua-duanya adalah pesara namun setakat ini belum dapat disahkan hubungan mereka dan masih dalam siasatan.
“Mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hanyann berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, setakat ini siasatan lanjut masih dilakukan dan pihaknya meminta saksi kejadian membantu berkongsi maklumat sekiranya ada rakaman melalui kamera papan pemuka (dashcam) untuk membantu siasatan.
“Pemandu kenderaan Toyota Avanza pula lelaki berusia 18 tahun tidak cedera.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, dua maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kenderaan Toyota Avanza di Kilometer 102 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd