LATEST

Kerajaan selesai bayar balik lebihan cukai RM20.27 bilion libatkan 3.65 juta kes – HASiL

Kerajaan selesai bayar balik lebihan cukai RM20.27 bilion libatkan 3.65 juta kes – HASiL

Putrajaya: Kerajaan telah menyelesaikan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM20.271 bilion melibatkan 3.65 juta kes pembayar cukai setakat 31 Okt lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Baca juga: OKU penglihatan perlu diberi peluang, lihat potensi

Beliau berkata daripada jumlah keseluruhan itu, RM13.036 bilion telah dibayar balik kepada 206,234 pembayar cukai syarikat termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Abu Tariq berkata HASiL akan terus memperkukuh kecekapan pentadbiran cukai khususnya urusan bayaran balik lebihan cukai, pelaksanaan e-Invois dan kemudahan pematuhan bagi memastikan persekitaran percukaian negara kekal responsif terhadap keperluan komuniti perniagaan.

“HASiL akan terus memberikan perhatian kepada kecekapan pemprosesan, pengesahan tuntutanserta pengurusan bayaran balik, tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan tatacara yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perkara itu antara yang dikongsikan Abu Tariq dalam ucapan sempena Sesi Libat Urus Strategik HASiL Bersama Dewan Perdagangan dan Persatuan Perniagaan 2026 di Cyberjaya hari ini.

Beliau berkata usaha memperkukuh kecekapan pentadbiran cukai turut memberikan tumpuan kepada pelaksanaan e-Invois dan kemudahan pematuhan bagi memastikan sistem percukaian negara kekal responsif terhadap keperluan komuniti perniagaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abu Tariq berkata sebanyak 2.25 bilion e-Invois telah dikemukakan oleh lebih 270,000 pembayar cukai setakat hari ini.

Katanya, penggunaan data e-Invois turut membantu menggalakkan pematuhan cukai secara sukarela apabila lebih 97,000 pembayar cukai tampil mengemukakan borang nyata bagi tahun-tahun terdahulu, melibatkan cukai kena dibayar berjumlah RM1.68 bilion.

Sementara itu, beliau berkata lebih 1.05 juta permohonan diterima menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Duti Setem setakat 31 Okt lepas, dengan penalti berjumlah RM184 juta diberikan remisi penuh.

Abu Tariq berkata program berkenaan dilanjutkan hingga 31 Dis ini manakala pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) dijadual memasuki Fasa 2 mulai 1 Jan 2027.

Bagi membantu pembayar duti beralih kepada sistem berkenaan, Abu Tariq berkata HASiL memberikan kelonggaran tanpa penalti sepanjang tahun ini bagi kesalahan mengemukakan Borang Nyata Duti Setem (BNDS) yang tidak tepat di bawah STSDS.

Beliau berkata komuniti perniagaan merupakan rakan strategik penting dalam pembangunan ekonomi negara dan kerjasama dua hala perlu diperkukuh bagi memastikan isu percukaian dapat ditangani secara praktikal dan konsisten.

“HASiL akan terus memberikan perhatian kepada aspek pendidikan cukai, penerangan teknikal dan kemudahan perkhidmatan bagi membantu komuniti perniagaan menyesuaikan diri dengan keperluan pendigitalan,” katanya.

Abu Tariq berkata HASiL juga akan terus memberikan perhatian terhadap pendidikan cukai, penerangan teknikal serta kemudahan perkhidmatan bagi membantu komuniti perniagaan khususnya PMKS menyesuaikan diri dengan keperluan pendigitalan.

Katanya, pandangan serta cadangan industri yang dikemukakan melalui sesi libat urus itu akan diteliti bagi menambah baik pentadbiran cukai, sekali gus mewujudkan persekitaran percukaian yang telus, saksama dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news