LATEST

Kunjungan mesra Media Prima ke Penjara Wanita Kajang buka ruang fahami usaha pemulihan penghuni

Kunjungan mesra Media Prima ke Penjara Wanita Kajang buka ruang fahami usaha pemulihan penghuni

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Baca juga: Ayam tidak masak sempurna, MARA siasat kontraktor kantin. ‘Saya cukup marah, terkesan’ – Asyraf Wajdi

Kajang: Kunjungan mesra pengurusan kanan Media Prima Berhad ke Penjara Wanita Kajang, di sini, hari ini, membuka ruang memahami lebih dekat usaha pemulihan penghuni penjara, sekali gus memperlihatkan peranan media dalam membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan berkenaan.

Lawatan yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari itu membabitkan delegasi pengurusan kanan Media Prima Berhad diketuai Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad, Datuk Farrah Naz Karim.

Delegasi disambut Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Mohamad Rosidek Musa; Pengarah Penjara Negeri Selangor, Aminon Adnan; Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Kamarul Zaman Ali Zaman serta Pengarah Penjara Wanita Kajang, Kesumawati Ilas.

Lawatan itu turut diisi dengan taklimat keselamatan serta lawatan ke beberapa fasiliti termasuk Taska Cinta Care, Bengkel Menjahit dan Sulaman, Sekolah Integriti Wanita Kajang, bengkel pembuatan pastri dan kek serta Galeri IPPM.

Pengurusan kanan Media Prima turut berpeluang melihat secara dekat pelbagai program dan aktiviti yang disediakan bagi membantu penghuni menjalani proses pemulihan serta membina kemahiran sebelum kembali ke masyarakat.

Sementara itu, Mohamad Rosidek berkata, pihaknya berharap kunjungan berkenaan dapat membuka ruang kerjasama lebih erat dengan media dalam membantu menjelaskan realiti kepenjaraan serta usaha pemulihan yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia (JPM).

“Sebenarnya, kita mengharapkan kunjungan ini adalah satu kunjungan yang boleh menerangkan situasi strategik supaya pihak media boleh bantu kita dari segi tanggapan salah faham mengenai kepenjaraan dan program pemulihan dalam JPM.

“Yang mana kalau kita dengar daripada podcast (audio siar) yang ada di luar sana, ada yang bagus tetapi banyak yang menceritakan perkara negatif dan sensasi,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama media bukan hanya terhad kepada kunjungan semata-mata, sebaliknya diharap dapat diteruskan melalui pelbagai program termasuk podcast dan penerbitan berita yang memberi pendedahan mengenai usaha pemulihan serta peluang kedua kepada penghuni.

“Kalau masyarakat tidak membantu dan memberikan peluang kedua ianya umpama kita mencurah air ke daun keladi,” katanya.

Katanya, sokongan masyarakat termasuk keluarga dan majikan penting bagi memastikan penghuni yang dibebaskan dapat meneruskan kehidupan serta tidak kembali melakukan kesalahan.

Delegasi Media Prima Berhad yang turut hadir ialah Pengarang Kumpulan, Berita Harian, Zulkifli Jalil; Ketua Pegawai Operasi, New Straits Times Press, Luqman Adrine Ja’afar; Ketua Pengarang Operasi Penumpuan, Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad, M Thillinadan; serta Timbalan Pengarang Kumpulan, New Straits Times, Sharanjit Singh.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Operasi Penumpuan, Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad, Datuk Sariha Mohd Ali; Pengarang Eksekutif, Berita Harian, Nazarudin Abu Bakar; dan Pengarang Eksekutif Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news