am@hmetro.com.my
Baca juga: KLIA kesal insiden Bilik VIP Terminal 1, tindakan segera sudah diambil
Tangkak: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun antara tiga beranak maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas, tengah hari tadi.
Kemalangan berlaku pada jam 1.15 tengah hari di Kilometer 159.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) turut mengorbankan wanita berusia 49 tahun, remaja lelaki berusia 14 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Jamellulkamal Abdul Halim berkata, nahas berlaku ketika MPV jenis Nissan Serena dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Johor Bahru.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, keluarga terbabit dalam perjalanan pulang selepas menghantar anak mereka di sebuah universiti di Melaka.
“Sebaik tiba di lokasi, MPV terbabit dipercayai terbabas ke kiri dan merempuh besi penghadang lebuh raya.
“Rempuhan itu menyebabkan tiga penumpang cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tiga lagi mangsa yang cedera ialah pemandu dan dua lagi penumpang MPV cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk rawatan lanjut.
Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
“Orang ramai atau saksi kejadian mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa di talian 013-9825324 bagi membantu siasatan,” katanya.
Jenazah ketiga-tiga beranak itu dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd