am@hmetro.com.my
Baca juga: Ibu maut kemalangan selepas beli bahan masakan sambutan hari jadi anak
Meskipun mini album (EP) terbaharunya berjudul Selesai sarat dengan tema cinta, kekecewaan dan kehilangan, penyanyi Sarah Suhairi menegaskan tidak semua kisah diketengahkan dalam naskhah itu berkaitan dengan pengalaman hidupnya sendiri.
Sarah, 26, tidak menafikan ada beberapa lagu mempunyai kaitan dengan kisah peribadinya, namun keseluruhan penceritaan itu tidak wajar ditafsirkan sebagai gambaran perjalanan kisah cintanya semata-mata.
Sebaliknya, juara program realiti Big Stage 2018 itu berharap lima trek dimuatkan dalam EP berkenaan menjadi ruang pendengar mengaitkan mesej lagu dengan fasa kehidupan masing-masing.
“Karya muzik boleh membawa makna berbeza kepada setiap individu. Lagu yang sama mungkin mengingatkan seseorang kepada kisah cinta yang sudah berakhir, manakala bagi individu lain, ia boleh menjadi gambaran tentang kehilangan, persahabatan atau pengalaman hidup yang sukar dilupakan.
“Di situlah saya berharap EP Selesai mendapat tempat tersendiri dalam hati pendengar tanpa mereka perlu melalui pengalaman yang sama seperti diri ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sesi pradengar eksklusif EP berkenaan baru-baru ini.
Mengulas lanjut proses pembikinan EP pertamanya sejak bergelar anak seni, Sarah yang sebelum ini lebih kerap muncul dengan single mengakui sudah lama menyimpan impian untuk memiliki bingkisan album sendiri sebagai penanda aras pencapaian peribadi.
Menurutnya, setiap artis mempunyai kemampuan, kepuasan dan perancangan berbeza dalam berkarya dan dia selesa memulakan langkah menerusi lima lagu yang lahir daripada kejujuran hati, tanpa perlu mengikut acuan orang lain.
“Kadang-kadang kita nak juga benda itu datang dari kita sendiri, dari hati, apa yang kita nak sampaikan,” ujarnya ringkas.
Bercerita mengenai keistimewaan Selesai, Sarah menyifatkan susunan kelima-lima lagu itu membentuk satu garis penceritaan emosi yang berkesinambungan, bermula daripada keceriaan persahabatan sehinggalah menemui kekuatan untuk melepaskan.
“Perjalanan itu dimulakan menerusi lagu Busy Ke? yang mengetengahkan keceriaan persahabatan dan disusuli Tak Perlu Rasa yang membawa mesej penerimaan diri tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.
“Seterusnya, lagu Paling Indah menggambarkan keindahan apabila cinta hadir dalam kehidupan, sebelum suasana berubah menerusi Waktu Yang Salah yang berkisarkan mencintai seseorang pada masa tidak tepat dan diakhiri Cinta Berlalu, yang menyentuh perpisahan dan keberanian untuk melepaskan,” jelasnya.
Bagi Sarah, mesej utama naskhah ini adalah untuk mengajak pendengar terus melangkah ke hadapan biarpun perit menerima kenyataan yang tidak seperti diharapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd