PETALING JAYA: Ketua jurulatih baharu Harimau Malaya perlu bersedia berdepan pelbagai cabaran, khususnya karenah pasukan Liga Malaysia (Liga M) dalam urusan mendapatkan khidmat pemain terbaik negara bagi memperkuatkan skuad kebangsaan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, antara cabaran terbesar yang sering dihadapi mana-mana ketua jurulatih Harimau Malaya sebelum ini adalah mendapatkan pemain berstatus ‘kelas A’ untuk menyarung jersi kebangsaan.
Baca juga: Penumpang Alza dicari didakwa pukul warga emas
Menurutnya, perkara itu bukan isu baharu dalam arena bola sepak negara kerana beberapa ketua jurulatih terdahulu turut berdepan kesukaran sama, sekali gus menjejaskan perancangan mereka untuk membentuk pasukan yang benar-benar kompetitif.
Katanya, keupayaan seseorang jurulatih membina pasukan yang kuat bergantung kepada ketersediaan pemain terbaik negara, terutama ketika jendela perlawanan antarabangsa atau kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Jika gagal mendapatkan pemain terbaik negara termasuk dalam kalendar FIFA, bagaimana seseorang jurulatih itu mahu membina pasukan yang kuat demi nama Malaysia. Apabila senarai pemain keluar, pemain terbaik tiada selain ada yang cedera pada saat akhir.
“Perkara ini telah berlaku kepada jurulatih sebelum ini, jadi jurulatih baharu kena bersedia dengan karenah yang dicipta pasukan Liga M, yang mana FAM sendiri tidak boleh berbuat apa-apa apabila perkara berkenaan berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, situasi berkenaan jelas menunjukkan bahawa tugas seorang ketua jurulatih kebangsaan bukan sekadar menentukan taktikal dan corak permainan, sebaliknya turut memerlukan kebijaksanaan dalam mengurus hubungan dengan kelab yang memiliki pemain terbabit.
Situasi itu pastinya memberi kesan kepada perancangan jurulatih kerana persiapan sesebuah pasukan kebangsaan memerlukan tempoh latihan mencukupi, selain kehadiran pemain utama bagi memastikan keserasian dan kefahaman taktikal dapat dibentuk.
Justeru, Sadek berpandangan ketua jurulatih baharu perlu memahami realiti bola sepak tempatan dan tidak boleh mengharapkan segala perancangannya berjalan lancar tanpa mengambil kira kepentingan serta pendirian pasukan Liga M.
Pada masa sama, beliau berharap semua kelab dapat melihat kepentingan skuad kebangsaan sebagai tanggungjawab bersama dan tidak terlalu mengutamakan kepentingan masing-masing sehingga menjejaskan persiapan Harimau Malaya.
Menurutnya, pemain terbaik negara seharusnya diberikan peluang untuk menyumbang kepada skuad kebangsaan, terutama dalam kejohanan dan perlawanan yang berada dalam kalendar FIFA.
Katanya, tanpa kerjasama erat antara badan induk, kelab dan barisan kejurulatihan, usaha membentuk Harimau Malaya yang lebih kuat akan terus berdepan halangan, sekali gus menyukarkan impian untuk mengangkat kembali martabat bola sepak negara. – UTUSAN
The post Ketua jurulatih Harimau Malaya kena hadap karenah pasukan Liga M appeared first on Utusan Malaysia.