am@hmetro.com.my
Baca juga: United hanya sediakan RM268 juta untuk Pochettino
Kuala Lumpur: Keputusan golongan muda meninggalkan sesuatu kerjaya atau menetapkan sempadan dalam tugasan harian tidak semestinya berpunca daripada sikap mudah mengalah sehingga dilabel sebagai ‘Generasi Strawberi’.
Sebaliknya, realiti sebenar di alam pekerjaan menunjukkan wujud pelbagai faktor termasuk isu pembayaran gaji tidak setimpal, tekanan persekitaran kerja serta keperluan menjaga keseimbangan kehidupan peribadi yang mendorong tindakan berkenaan.
Bagi seorang anak muda yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, 20-an, dia sudah melalui tiga pengalaman pekerjaan berbeza sebelum mengambil keputusan berhenti atas pertimbangan hak dan kesihatan mental.
Mengimbas perjalanan kerjayanya, Adam memulakan tugas sebagai kru dapur di sebuah restoran di Sabah dan bertahan selama setahun sebelum berhenti berikutan gaji RM900 sebulan yang didakwa terlalu rendah serta tidak setimpal dengan kos sara hidup.
Dia kemudian berhijrah ke ibu kota dan menyertai sebuah restoran dalam jawatan sama, namun hanya bertahan tiga bulan yang didakwanya selepas berdepan tekanan kerja melampau, layanan pengurusan tidak profesional serta isu bayaran kerja lebih masa.
“Sepanjang bekerja di restoran itu, saya sering berdepan arahan tergesa-gesa pada waktu puncak termasuk desakan menyiapkan proses membakar roti dengan cepat walaupun mesin mempunyai tetapan masa dan suhu khusus.
“Mereka (bekas majikan) juga sering mendesak saya mempercepatkan tugasan menyusun stok dari peti sejuk beku secara terburu-buru. Kadangkala saya dianggap malas apabila kelihatan tidak bergerak, padahal saya sudah selesai bertugas dan sedang menunggu proses kerja seterusnya,” katanya kepada Harian Metro.
Selain tekanan mental, Adam mendakwa bayaran kerja lebih masa pada kadar RM8 sejam tidak diterima sepenuhnya apabila hanya dibayar sekitar RM300 berbanding anggaran RM640 bagi tempoh 80 jam sebulan, sebelum dia bertukar ke bidang kurier yang turut ditinggalkan selepas tiga bulan kerana ketiadaan gaji pokok.
“Apa yang berlaku ini, saya tidak anggap diri sebagai ‘Generasi Strawberi’ kerana apa yang dilakukan hanyalah mempertahankan hak sebagai pekerja selain mengharapkan persekitaran kerja lebih baik,” katanya.
Berbeza pula dengan pengalaman seorang pegawai korporat muda yang mahu dikenali sebagai Din, 20-an, yang memilih untuk terus kekal berkhidmat di sebuah institusi perbankan di ibu kota walaupun mengakui pernah berdepan ‘kejutan budaya’ pada awal kerjayanya.
“Pada awalnya, saya agak sukar menyesuaikan diri dengan jadual kerja padat, lebih-lebih lagi apabila perlu menguruskan tugasan bertindih, berhadapan segelintir rakan sekerja yang menyebarkan cerita kurang tepat kepada pihak atasan serta ruang terhad untuk pekerja muda menyuarakan idea,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd