Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pendiriannya bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Memetik laporan Bernama, menerusi kenyataan hari ini, AGC memaklumkan pihaknya telah mengemukakan bantahan terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam Malaysia bagi mencabar perintah berkenaan.
Baca juga: PAS tolak kerjasama dengan pihak yang memusuhi Islam – Abdul Hadi
Bantahan tersebut dikemukakan ketika prosiding pendengaran pada 12 November lalu atas alasan keputusan yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan di bawah peruntukan berkenaan tidak boleh dicabar melalui proses kehakiman.
Mahkamah dijadualkan mendengar hujahan kedua-dua pihak pada 17 Mac 2027.
“Hujahan pihak-pihak akan didengar pada 17 Mac 2027. Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara akan terus mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar perintah tahanan rumah Najib yang dititahkan menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64.
Pada 10 November lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara membabitkan kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.
Empat hari sebelum keputusan itu, Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana syarikat berkenaan.
Pembayaran denda tersebut merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 18 September lalu, sekali gus membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Sumber: Bernama