LATEST

Pemuda Pas Selangor pertahan pendirian berkecuali ADUN dalam undian Belanjawan 2027

Pemuda Pas Selangor pertahan pendirian berkecuali ADUN dalam undian Belanjawan 2027

SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor mempertahankan tindakan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang memilih untuk berkecuali semasa proses pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS).Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya turut mengecam cadangan ADUN kerajaan yang mahu menyekat hak wakil rakyat pembangkang yang berkecuali daripada terus berbahas berikutan pendirian berkenaan.Menurutnya, pendirian berkecuali memberi ruang kepada wakil rakyat membuat pertimbangan menyeluruh memandangkan undian itu melibatkan keseluruhan RUU Perbekalan bernilai RM3.3 bilion.”Daripada jumlah itu, RM1.9 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion bagi pembangunan, manakala anggaran hasil negeri ialah RM2.85 bilion.”Seorang ADUN boleh mengiktiraf manfaat beberapa inisiatif sambil mengekalkan persoalan tentang keutamaan perbelanjaan, agihan peruntukan antara kawasan dan kemampuan kerajaan menyiapkan projek yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Pada 20 November lalu, DNS meluluskan RUU Perbekalan 2027 dengan 42 undi menyokong, manakala tujuh ADUN berkecuali dan tujuh lagi tidak hadir.Mohamed Sukri berkata, Speaker Dewan Negeri turut menegaskan bahawa setiap ADUN berhak menentukan pendirian masing-masing serta bertanggungjawab menjelaskan keputusan itu kepada rakyat yang diwakilinya.Mengulas lanjut, beliau memetik amalan di Parlimen Scotland yang meluluskan RUU belanjawan pada 25 Februari 2026 dengan 66 undi menyokong, 29 menentang dan 24 berkecuali.Menurutnya, rekod rasmi turut mencatatkan 10 ahli yang tidak mengundi dalam kategori berasingan.Selain itu, beliau berkata, Dewan Rakyat Kanada pada 17 November 2025 meluluskan usul dasar belanjawan yang turut menjadi ujian keyakinan terhadap kerajaan minoriti dengan 170 undi menyokong dan 168 menentang.”Empat ahli Parlimen pembangkang, masing-masing dua daripada Parti Konservatif dan New Democratic Party, memilih untuk berkecuali dalam undian berkenaan.”Di Selangor, kerajaan negeri sudah memperoleh 42 undi daripada Dewan yang mempunyai 56 kerusi. Urusan kelulusan belanjawan telah selesai. Hak untuk berbahas dan menyemak pelaksanaannya mesti terus dihormati,” katanya.Dalam pada itu, Mohamed Sukri mempersoalkan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini lantang mempertahankan kebebasan bersuara dan hak pembangkang untuk menyemak kuasa kerajaan, namun kini wakil kerajaan mencadangkan sekatan terhadap suara pembangkang.Beliau mendakwa, tindakan seolah-olah memaksa wakil rakyat pembangkang mengundi mengikut kehendak kerajaan merupakan intimidasi politik dan satu bentuk pembunuhan demokrasi di Dewan Negeri.Sehubungan itu, beliau menegaskan ADUN Pas wajib meneruskan peranan semak dan imbang yang boleh dinilai rakyat, termasuk menuntut jawapan terperinci berhubung isu tebatan banjir.Menurutnya, penduduk berhak mengetahui kawasan yang akan diberi keutamaan, jumlah peruntukan, tarikh kerja bermula dan jangkaan projek berkenaan siap.”Soalan-soalan itu mesti terus dibawa ke Dewan sehingga kerajaan memberikan jawapan yang boleh disemak.”Dewan telah meluluskan belanjawan. Kerajaan negeri kini bertanggungjawab menunjukkan hasilnya, bukan masih sibuk bermain politik dalam keadaan rakyat terus sengsara ditenggelami banjir,” katanya.    

Latest news