LATEST

Tang Jie tidak sabar kembali bergandingan dengan Ee Wei

Tang Jie tidak sabar kembali bergandingan dengan Ee Wei

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Pemuda Pas Selangor pertahan pendirian berkecuali ADUN dalam undian Belanjawan 2027

Kuala Lumpur: Tempoh lima bulan tanpa gandingan tetap membuka mata Chen Tang Jie mengenai betapa berharganya keserasian bersama Toh Ee Wei, sekali gus membuatkan dia semakin menghargai rakan sepasukannya itu menjelang kemungkinan mereka kembali bergandingan tahun depan.

Beregu campuran negara itu mengakui berasa kecewa apabila pembedahan lutut Ee Wei pada Jun lalu memaksa mereka berehat daripada beraksi bersama, namun pengalaman berkenaan menjadikan mereka lebih matang dan menghargai hubungan sebagai pasangan.

“Sudah tentu saya berasa sedih kerana kami sudah melalui banyak perkara bersama, tetapi saya tidak dapat berbuat banyak untuk membantu Ee Wei ketika dia mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun, saya rasa pengalaman ini menjadikan kami lebih matang dan akan membuatkan kami lebih menghargai satu sama lain sekiranya berpeluang kembali bergandingan nanti,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Tang Jie berkata, dia sentiasa berhubung dengan Ee Wei sepanjang tempoh pemulihan pemain itu dan tidak sabar untuk melihat rakan gandingannya kembali menjalani latihan pada penghujung bulan ini.

Katanya, Ee Wei yang menjalani pembedahan anterior cruciate ligament (ACL) lutut kanan di Melbourne pada 30 Jun lalu sudah pulang ke kampung halamannya di Melaka kira-kira dua minggu lalu selepas meneruskan proses pemulihan di Australia.

Sepanjang ketiadaan Ee Wei, Tang Jie bergandingan dengan dua pemain muda, Clarissa San dan Chan Wen Tse dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia, namun mengakui prestasinya sepanjang tempoh itu tidak mencapai tahap diharapkan.

Bersama Clarissa, mereka menyertai empat kejohanan manakala lima lagi kejohanan disertainya bersama Wen Tse, dengan Masters Korea menjadi satu-satunya kejohanan yang menyaksikan Tang Jie mara ke suku akhir.

“Saya tidak mahu menyalahkan siapa-siapa atau pasangan yang bergandingan dengan saya kerana prestasi sendiri sebenarnya tidak cukup baik.

“Keputusan sudah menunjukkan segalanya apabila saya tersingkir pada pusingan pertama atau kedua. Tiada alasan untuk prestasi saya di gelanggang.

“Apabila bergandingan dengan pemain baharu, kita perlu melalui sendiri pengalaman itu untuk memahami perbezaan setiap pasangan, menyesuaikan diri dan mencari cara untuk memenangi perlawanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news