KUALA LUMPUR: Kedah merekodkan pelaburan direalisasikan RM7.56 bilion menerusi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) setakat 31 Oktober lalu dengan pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang kira-kira 90 peratus, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelaburan sektor pembuatan.
Baca juga: Teknologi digital perlu seiring etika, tanggungjawab, elak maklumat palsu – Farrah Naz
Pencapaian itu turut menyumbang kepada penciptaan 6,758 peluang pekerjaan baharu, mencerminkan momentum pembangunan ekonomi negeri yang dipacu pelaburan strategik dan kerjasama antara NCER, kerajaan negeri serta pelbagai pemegang taruh.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan, berkata sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama prestasi pelaburan negeri dengan mewakili lebih 96 peratus daripada keseluruhan pelaburan direalisasikan.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiat usaha merealisasikan pelaburan strategik sehingga penghujung tahun ini bagi meningkatkan nilai tambah ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta mempertingkat kesejahteraan rakyat.
Katanya, antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Kedah ialah Kedah Rubber City (KRC) yang merekodkan pelaburan dikenal pasti berjumlah RM3.18 bilion membabitkan empat pelabur komited, dengan potensi mewujudkan lebih 1,300 peluang pekerjaan.
“Pelaburan terbesar di KRC termasuk projek Prinx Tire (M) Sdn Bhd bernilai RM2.56 bilion yang kini mencapai 85 peratus kemajuan pembinaan kilang tayar, selain projek ladang solar CRESS oleh HLGY Energy Sdn Bhd bernilai RM500 juta yang sedang memasuki fasa pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pencapaian itu diumumkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JPN) Kedah yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Mengulas lanjut, Mohamad Haris berkata, pembangunan Kedah Science & Technology Park (KSTP) Fasa 2A juga kini mencapai 92.1 peratus siap dan dijangka disiapkan sepenuhnya pada Mac 2027, dengan potensi menarik pelaburan swasta RM12.9 bilion serta mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan.
Beliau berkata, menerusi Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 yang dirangka bagi menyokong aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan agenda pembangunan jangka panjang negeri, Kedah disasarkan mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM72.7 bilion menjelang 2030.
Katanya, pelan itu turut menetapkan sasaran pelaburan direalisasikan kumulatif RM125.3 bilion serta mewujudkan lebih 75,000 peluang pekerjaan dalam tempoh itu.
“Mesyuarat turut membincangkan perkembangan beberapa inisiatif strategik lain termasuk perancangan kerangka pembangunan Jerai Geopark, status pengoperasian iCON serta perkembangan terkini program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)-INTAN.
“NCIA akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kedah dan rakan strategik bagi mempercepat realisasi pelaburan berimpak tinggi, merangsang pertumbuhan ekonomi serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd