LATEST

Kes buli berpunca mesej WhatsApp, tiga pelajar didakwa esok

Kes buli berpunca mesej WhatsApp, tiga pelajar didakwa esok

am@hmetro.com.my

Baca juga: FAM yakin pengalaman Hodak mampu beri impak – Ab Ghani

Tangkak: Tiga pelajar lelaki yang disyaki mencederakan seorang pelajar Tingkatan Dua akibat perselisihan faham mengenai mesej dalam kumpulan WhatsApp di sebuah sekolah menengah di daerah ini, 13 November lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak, esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Jamellulkamal Abdul Halim, berkata ketiga-tiga suspek berusia 15 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

“Berhubung perkembangan siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar berusia 14 tahun yang dipukul oleh tiga pelajar lelaki lain di sebuah sekolah menengah di Tangkak, kertas siasatan sudah lengkap dan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri.

“Arahan tuduh ke atas ketiga-tiga pelajar terbabit dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jamellulkamal berkata, polis memandang serius sebarang bentuk perlakuan buli, khususnya membabitkan pelajar sekolah.

Justeru, katanya, ibu bapa dan pihak sekolah diseru supaya sentiasa peka terhadap tingkah laku serta pergaulan anak-anak dan tidak memandang ringan sebarang aduan berkaitan perbuatan buli.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu, khususnya yang boleh mendedahkan identiti pelajar terbabit.

Sebelum ini, perselisihan faham berhubung mesej perbualan dalam kumpulan WhatsApp dipercayai menjadi punca seorang pelajar Tingkatan Dua dibelasah tiga pelajar lelaki sehingga cedera.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, 13 November lalu, mangsa dipercayai ditendang dan ditumbuk berulang kali di beberapa bahagian badan oleh ketiga-tiga suspek di dalam bilik darjah.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.09 tengah malam, 14 November lalu.

Susulan kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, selepas mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news