PETALING JAYA :Tempoh reman terhadap 13 individu termasuk lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan bagi siasatan berhubung penemuan 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu disambung secara berperingkat
Daripada jumlah itu, empat pegawai TUDM yang ditahan di Labuan sebelum ini tamat tempoh reman pertama pada hari ini dan diperintahkan sambung reman selama empat hari sehingga 28 November ini.
Baca juga: Empat tahun menerajui negara bukan satu perjalanan mudah – Fuziah Salleh
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pegawai TUDM masing-masing menjalani reman pertama selama tujuh hari bermula 18 hingga hari ini.
Katanya, seorang lagi pegawai TUDM yang ditahan di Labuan akan tamat tempoh reman pertama esok selepas direman selama lapan hari bermula 18 November lalu.
“Permohonan sambungan reman terhadapnya dijangka akan dibuat esok.
“Di Tawau pula, dua pegawai TUDM yang direman turut selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 November ini juga akan disambung reman,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, katanya, permohonan reman juga akan dibuat terhadap dua individu awam yang ditahan di Labuan selepas tempoh reman pertama mereka berakhir pada 27 November ini.
“Kedua-duanya ditahan pada 21 November lalu dan direman selama tujuh hari.
“Sementara itu, empat individu awam yang ditahan di Kuala Lumpur sebelum ini telah ditangkap semula bagi membantu siasatan kes berkaitan TUDM dan kini menjalani reman selama tujuh hari bermula 24 hingga 30 November ini,” jelasnya.
Katanya, kesemua 13 individu terbabit kini berada dalam proses siasatan mengikut tempoh reman yang ditetapkan.
“Lain-lain perkara mengenai sindiket ini masih lagi dalam siasatan pihak,” katanya.
Sebelum ini, 11 individu termasuk lima pegawai TUDM dan enam orang awam ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta.
Dalam operasi sama, polis turut merampas 6.98 kg cecair bahan kimia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan.
Kejayaan membongkar sindiket pengedaran dadah rentas sempadan itu hasil kerjasama risikan strategik antara JSJN Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM.
Sindiket berkenaan dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan bagi menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa khususnya Filipina dan Indonesia.
Hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur serta menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.
JSJN kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga tempatan yang dipercayai ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi serta mengenal pasti pihak lain yang terbabit. – UTUSAN
The post Reman lima pegawai TUDM disambung, siasatan masih berjalan appeared first on Utusan Malaysia.