KUALA TERENGGANU – Kerajaan digesa supaya tidak sekadar memberi amaran atau menjalankan siasatan, sebaliknya perlu mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Kota Melaka yang didakwa mempertikaikan peraturan penutupan premis perniagaan pada waktu solat Jumaat di Terengganu.Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, beliau menghargai ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi amaran berhubung isu tersebut, namun menyifatkan langkah itu masih belum mencukupi.”Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi cadangan yang agak tegas, cuma bukan setakat siasat, saya minta tambah lagi satu iaitu bertindak.”Beliau disifatkan terlalu kurang ajar kerana masuk ke Terengganu dan memprotes sistem perundangan negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (CoE) Sempena Tahun Melawat Terengganu 2027 di sini pada Selasa.Menurut Razali, permohonan maaf sahaja tidak memadai memandangkan peraturan yang dilaksanakan di Terengganu selama ini diterima baik oleh seluruh rakyat termasuk masyarakat bukan Islam tanpa sebarang krisis.”Kita tidak pernah ada masalah dengan orang bukan Islam di negeri ini dan mereka bersetuju dengan peraturan yang ditetapkan. Sebenarnya amaran keras yang diberikan Perdana Menteri itu hanya setakat amaran, sepatutnya beliau menegaskan untuk siasat dan bertindak,” ujarnya.Mengulas lanjut mengenai dakwaan kononnya penutupan premis perniagaan selama dua jam pada hari Jumaat menjejaskan sektor ekonomi dan pelancongan, beliau menafikan perkara tersebut.Jelasnya, peraturan berkenaan sudah menjadi rutin yang diamalkan sejak bertahun-tahun lalu dan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada peniaga mahupun pengunjung.”Ia tidak menjejaskan apa-apa kerana sudah menjadi rutin kita sejak bertahun-tahun. Pada malam Jumaat tidak dibenarkan bermain muzik, namun selepas itu peniaga bebas beroperasi sehingga ke pagi, manakala pada hari Jumaat pula operasi dihentikan sementara bagi menghormati waktu solat Jumaat.”Daripada 1.2 juta penduduk di Terengganu, hanya sekitar dua peratus terdiri daripada masyarakat bukan Islam merangkumi kaum Cina, India dan lain-lain. Tiada sebarang protes berlaku dalam kalangan rakyat negeri ini, sebaliknya yang datang membantah adalah wakil rakyat dari Melaka,” katanya.Terdahulu, Perdana Menteri menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat seorang Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan menggugat sensitiviti keagamaan ketika mengunjungi Terengganu baru-baru ini.Anwar menegaskan tiada mana-mana pihak terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan sekiranya membangkitkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R), selain menyatakan tidak bersetuju dengan kenyataan yang mempersoalkan penutupan premis perniagaan bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong memohon maaf secara terbuka susulan hantarannya berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika solat Jumaat.Dalam kenyataan permohonan maafnya, beliau mengakui terdapat kelemahan dalam penyampaian pandangan berkenaan, khususnya dari segi pemilihan kata dan nada yang digunakan sehingga menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat, terutama umat Islam.-ENDS-
Bukan sekadar siasat, perlu ambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Kota Melaka
Malay News | https://www.malay.news/bukan-sekadar-siasat-perlu-ambil-tindakan-tegas-terhadap-ahli-parlimen-kota-melaka/