sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Bukan sekadar siasat, perlu ambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Kota Melaka
Kuala Lumpur: Rekod cemerlang skuad hoki lelaki negara di Piala Sultan Azlan Shah 2026 berterusan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Amerika Syarikat (AS) 4-2, semalam.
Jaringan antarabangsa pertama di peringkat senior belum cukup membuatkan Adam Asyraf Johari berpuas hati apabila pemain muda negara itu mengakui masih banyak aspek permainannya perlu diperbaiki.
Pemain Terbaik Perlawanan itu berkata, dia bersyukur dapat menyumbang gol dalam kemenangan Speedy Tigers ke atas AS, namun mahu menjadikan pengalaman itu sebagai motivasi untuk terus meningkatkan mutu permainannya.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira, tetapi sebenarnya tidak menjangka percubaan itu menghasilkan gol. Saya cuma cuba melakukan yang terbaik dan memukul bola itu.
“Saya hadiahkan jaringan itu kepada penyokong, terutama ahli keluarga.
“Namun, masih ada kekurangan yang perlu saya baiki dan berharap dapat memperkemaskan permainan menjelang aksi menentang Pakistan,” katanya.
Adam Asyraf turut mencuri perhatian menerusi gerakan menarik pada minit ke-40 apabila menimbang bola sebelum menghasilkan jaringan ketiga Speedy Tigers, sekali gus mengelirukan pemain pertahanan dan penjaga gol lawan.
Kemenangan 4-2 itu menyaksikan skuad negara mengekalkan rekod bersih apabila memenangi semua enam pertemuan menentang AS sejak kali pertama kedua-dua pasukan bertemu pada Sukan Olimpik Melbourne 1956.
© New Straits Times Press (M) Bhd