am@hmetro.com.my
Baca juga: Usah pertikai pelajar MRSM mengadu terus kepada saya, saya yang galak! -Asyraf
Kuala Lumpur: Masyarakat diminta supaya tidak mempertikaikan kecenderungan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) atau mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang memilih untuk menyalurkan aduan secara terus kepada pihak kepemimpinan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebaliknya berkata pendekatan itu sememangnya digalakkan bagi memastikan sebarang isu berkaitan kebajikan pelajar dapat ditangani dengan pantas dan berkesan.
“Usahlah pertikaikan kenapa anak-anak pelajar MRSM atau mana-mana IPMA yang selesa mengadu terus kepada saya.
“Sejujurnya memang saya sendiri galakkan supaya tindakan boleh segera diambil untuk atasi apa jua masalah kebajikan pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, langkah membuka ruang komunikasi secara langsung itu dilihat penting bagi memastikan kebajikan serta keselesaan pelajar di institusi berkenaan sentiasa terpelihara tanpa sebarang kekangan birokrasi.
Terdahulu, Pengurusan MARA khususnya Bahagian Pendidikan Menengah sudah diarahkan mengambil tindakan segera berhubung aduan penyediaan makanan tidak memuaskan di Dewan Selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba di Melaka.
Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, beliau kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab berhubung penyediaan makanan di sekolah itu.
Katanya, beliau sudah meminta Pengetua segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas malam ini juga.
“Kasihan anak-anak pelajar yang bukan ramai berkemampuan untuk beli makanan alternatif di kafe atau koperasi, apatah lagi buat pelajar-pelajar Tingkatan Lima yang sedang menduduki peperiksaan SPM.
“Saya cukup marah dan amat terkesan apabila membaca Whatsapp dan mesej peribadi di ruangan media sosial sebentar tadi.
“Ada beberapa pelajar dan ibu bapa dari MRSM Tun Ghafar Baba Melaka yang hubungi saya mengadu berkenaan penyediaan makanan di Dewan Selera petang tadi tidak memuaskan kerana ada ayam yang tidak dimasak dengan sempurna.
“Apabila saya minta pengurusan semak, rupanya kontrak penyedia makanan hanya berbaki sebulan sahaja lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Asyraf berkata, semacam satu ‘trend’ apabila satu-satu kontrak sudah hampir tamat tempoh, maka penyedia makanan semacam mengabaikan kualiti makanan yang disediakan.
Katanya, baru beberapa minggu lalu beliau melakukan pemeriksaan di MRSM itu dan memberi amaran kepada Penyelia Dewan Selera agar pastikan kualiti makanan yang disediakan menepati piawai yang MARA tetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd