KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui, tempoh empat tahun menerajui Kerajaan Madani bukan perjalanan mudah untuk ditempoh, apatah lagi ketika negara berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan ekonomi, kekangan kewangan dan peningkatan kos sara hidup.Menerusi perkongsian penuh makna sempena genap empat tahun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu beriltizam untuk terus membela nasib rakyat dan mengangkat martabat negara.Menurutnya, kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang telah lama berakar umbi turut menuntut keberanian serta kesungguhan untuk melakukan perubahan.”Sejak hari pertama melangkah masuk ke Perdana Putra, tekad saya adalah untuk memulihkan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat. Bukan suatu perjalanan yang mudah, tetapi amanah ini mesti terus digalas dengan penuh kesungguhan.”Alhamdulillah sepanjang empat tahun ini, kita telah bersama-sama membina asas yang lebih kukuh untuk Malaysia.”Kedudukan kewangan negara diperkemas, tatakelola diperbaiki, reformasi institusi digerakkan dan kebajikan rakyat terus diperkukuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.Pada 24 November 2022, Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat mengakui perjalanan untuk membawa negara ke tahap lebih baik masih jauh dan memerlukan usaha berterusan.Jelasnya, ukuran sebenar kemajuan negara bukan sekadar pencapaian ekonomi atau kedudukan kewangan, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan perubahan yang dirasai setiap keluarga.”Ukuran sebenar kemajuan negara adalah apabila kehidupan setiap keluarga menjadi lebih baik, rezeki lebih terjamin dan masa depan anak-anak lebih terbela.”Itulah yang sedang kita perjuangkan,” katanya.Dalam pada itu, Anwar yakin asas yang telah dibina sepanjang tempoh berkenaan mampu menjadi landasan untuk negara melangkah lebih jauh, sekali gus meringankan beban rakyat serta membuka lebih banyak ruang dan peluang yang adil kepada semua.Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan yang diberikan sepanjang empat tahun menerajui kerajaan.Menurutnya, selagi diberikan amanah, beliau akan mencurahkan segala daya dan upaya demi kepentingan rakyat serta negara.”Perdana Menteri boleh datang dan pergi, tetapi nasib rakyat mesti terus dibela, dan martabat negara mesti terus diangkat,” katanya.
Genap empat tahun terajui negara, Anwar iltizam terus bela nasib rakyat
Malay News | https://www.malay.news/genap-empat-tahun-terajui-negara-anwar-iltizam-terus-bela-nasib-rakyat/