Siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan pelakon Puteri Balqis ketika menjalani penggambaran sebuah drama terus berjalan apabila polis dijangka mengambil keterangan 25 lagi individu bagi membantu siasatan.
Enam individu sudah beri keterangan
Memetik laporan daripadaBuletin TV3, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menyatakan, setakat ini seramai enam individu sudah dirakam keterangan termasuk Puteri Balqis dan pelakon lelaki yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan.
Baca juga: Tahun Satu usia 6 tahun dapat sambutan! KPM terima hampir 74,000 permohonan
Menurutnya, individu lain yang sudah memberikan keterangan termasuk tunang pengadu yang juga pembantu peribadinya, seorang pengarah serta dua jurukamera.
“Polis turut merakam keterangan tunang pengadu yang juga pembantu peribadinya, seorang pengarah serta dua jurukamera.
“Keterangan kira-kira 25 lagi saksi membabitkan kru produksi akan dirakam secara berperingkat.
“Proses itu akan dilakukan mengikut kelapangan mereka memandangkan kru produksi berkenaan kini sedang terbabit dalam penggambaran produksi lain,” katanya.
Foto: Sinar Harian
Terdahulu, pada 21 November lalu, laporan berita menyatakan pihak polis telah membuka kertas siasatan selepas Puteri Balqis membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada 19 November berhubung dakwaan gangguan seksual yang berlaku ketika penggambaran drama pada Ogos lalu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Foto: Utusan Malaysia
Sebelum ini, Puteri Balqis atau lebih dikenali sebagai Aqish menerusi hantaran di Instagram mendakwa pelakon lelaki terbabit sengaja bergesel dengannya ketika melakonkan babak bersama.
Walau bagaimanapun, pelakon lelaki berkenaan menafikan dakwaan itu menerusi satu kenyataan di Instagram dan turut membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.
Sementara itu, syarikat produksi Global Film Station Sdn Bhd memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung siasatan berkenaan.
Sumber: Buletin TV3 (Austin Camoens)