LATEST

Majlis graduasi Tahun 6 di hotel tak perlu, bebankan ibu bapa – Pakar pendidikan

Majlis graduasi Tahun 6 di hotel tak perlu, bebankan ibu bapa – Pakar pendidikan

am@hmetro.com.my

Baca juga: GST mampu kurangkan cukai bertindih, Fadzmel jawab dakwaan Tony Pua

Kuala Lumpur: Penganjuran majlis graduasi murid Tahun Enam disifatkan wajar untuk diraikan, namun ia tidak semestinya berbentuk majlis formal di hotel umpamanya kerana membabitkan komitmen kewangan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Fatin Aliana Mohd Radzi, berkata nilai sesuatu majlis itu tidak perlu tergantung pada lokasinya kerana ia tidak menambah sebarang nilai pendidikan.

Katanya, hotel mungkin memberi suasana lebih istimewa, namun jika dilakukan bersederhana di sekolah juga boleh meninggalkan kenangan bermakna tanpa meletakkan beban kewangan besar kepada keluarga.

“Tidak dinafikan majlis graduasi itu boleh memberi ruang kepada murid untuk menghargai usaha mereka dan menandakan peralihan ke alam sekolah menengah.

“Pengiktirafan seperti ini ada nilainya, terutama jika murid turut diberi peluang mengimbas pengalaman dan menghargai sokongan guru serta keluarga.

“Pada masa sama kita perlu membezakan antara meraikan murid dengan menjadikan sambutan itu satu komitmen kewangan kepada ibu bapa selain memberi perhatian kepada pencapaian akademik, perkembangan diri dan kemahiran murid,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial perkongsian seorang bekas Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Othman Talib mengenai majlis graduasi murid Tahun Enam yang diadakan di hotel.

Perkongsian itu menegaskan sebarang majlis perlulah mengutamakan pendidikan, keterangkuman dan kemampuan.

Fatin Aliana berkata, persetujuan ibu bapa terhadap penganjuran majlis berkenaan juga tidak semestinya bermakna mereka benar-benar bersetuju atau mampu menanggung kos ditetapkan, sebaliknya mungkin dipengaruhi tekanan sosial dan keinginan memastikan anak tidak berasa tersisih.

“Dalam konteks sosiologi, norma kumpulan dan keinginan untuk diterima boleh mempengaruhi keputusan seseorang, termasuk ibu bapa yang mungkin keberatan atau kurang mampu tetapi tetap bersetuju kerana tidak mahu anak mereka berbeza daripada rakan sebaya.

“Justeru, penyertaan dan bayaran bagi majlis berkenaan perlu benar-benar bersifat sukarela, manakala murid yang tidak menyertainya tidak boleh dilayan seolah-olah mereka kurang diraikan,” katanya.

Jelasnya lagi, persetujuan PIBG juga penting, namun tidak semestinya menggambarkan kemampuan serta pandangan setiap keluarga, terutama ibu bapa yang memilih untuk berdiam diri kerana segan atau bimbang anak mereka terkesan.

Katanya, sekolah wajar mendapatkan maklum balas secara lebih terbuka dan sulit, selain berkongsi kos sebenar penganjuran sebelum keputusan dibuat bagi memastikan ibu bapa boleh menyatakan kemampuan tanpa rasa bersalah.

“Dari sudut perbandingan majlis graduasi sekolah rendah dengan konvokesyen universiti, kedua-duanya mempunyai konteks berbeza kerana konvokesyen universiti mengiktiraf tamatnya kelayakan akademik yang ditetapkan, manakala graduasi Tahun Enam lebih sesuai dilihat sebagai sambutan peralihan dan penghargaan terhadap pengalaman murid.

“Sekolah tidak perlu menjadikan majlis graduasi murid Tahun Enam seperti konvokesyen universiti untuk membuktikan pencapaian mereka penting kerana kemewahan majlis bukan ukuran kejayaan.

“Penganjuran majlis perlu mengambil kira demografi dan kemampuan keluarga supaya tidak menyebabkan murid daripada keluarga berpendapatan rendah berasa terpinggir, sedangkan mereka juga sebahagian daripada komuniti sekolah,” katanya.

Tegas beliau, apa yang wajar dinormalisasikan ialah usaha menghargai murid mengikut kemampuan sekolah dan keluarga, bukannya menetapkan majlis graduasi mahal sebagai kebiasaan setiap tahun.

“Apabila sesuatu amalan menjadi norma, ibu bapa mungkin berasa perlu mengikutinya walaupun kos berkenaan membebankan, justeru sekolah perlu memastikan sambutan itu benar-benar sukarela, inklusif dan tidak menyebabkan mana-mana murid berasa tersisih,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news