LATEST
National

Mayat terbenam dalam lumpur: Mangsa mati akibat cedera di kepala

Mayat terbenam dalam lumpur: Mangsa mati akibat cedera di kepala

NIBONG TEBAL: Polis mengesahkan lelaki yang ditemukan mati dalam keadaan separuh badannya terbenam dalam lumpur di tebing tali air di Kampung Baru, Jalan Byram, di sini, malam tadi, meninggal dunia akibat kecederaan di kepala disebabkan hentakan objek tumpul.

Baca juga: Gaji 75 Hari Bulan? Warganet Berseloroh Tunggu Gaji November

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata ia berdasarkan laporan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya(HSJ) pada hari ini.

Menurutnya, sehingga kini identiti mangsa dan suspek yang terbabit belum dikenal pasti.

Katanya, siasatan sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan individu yang bertanggungjawab.

“Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan akibat objek tumpul pada bahagian kepala (blunt force injuries to the head).

“Pihak polis sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian, serta mengesan individu yang terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Rizal

Abd Rashid di talian 019-8282212 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau berkongsi kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan.

Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu media melaporkan, mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemukan orang awam dalam keadaan separuh badannya terbenam dalam lumpur di tebing tali air di Kampung Baru, Ladang Byram, jam 11 malam Isnin.

Pemeriksaan awal polis dan pasukan forensik di lokasi mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepala mangsa, selain kesan darah dikesan berhampiran tali air berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news