Kuala Lumpur : Mengendalikan sebuah podcast tidak semudah disangka penonton. Di sebalik mikrofon, kamera dan soalan spontan, apatah lagi apabila ia menuntut kebijaksanaan mengawal emosi serta membaca situasi tetamu.
Bagi pengendali podcast Bukak Mulut, Affendy Jailani, peranan seorang hos bukan sekadar melontarkan soalan dan menantikan jawapan, sebaliknya memerlukan kepekaan tinggi memahami karakter serta perasaan individu yang duduk di hadapannya.
Baca juga: Siasatan kes Puteri Balqis diperluas, 25 lagi saksi bakal beri keterangan -Polis
Katanya, tidak semua perkara wajar ditanyakan secara terus-terang dan tidak semua jawapan boleh diterima tanpa mengambil kira emosi orang yang berkongsi kisah hidup mereka.
“Kita kena tahu bagaimana mengawal suasana, emosi sendiri dan emosi tetamu. Ada cerita mungkin mudah untuk kita dengar, tetapi berat untuk seseorang itu luahkan.
“Saya mahu perbualan itu jujur, tetapi dalam masa yang sama, saya tidak mahu kehilangan rasa hormat terhadap orang yang sedang berkongsi cerita dengan saya,” katanya.
Affendy berkata, keseimbangan antara keberanian mengajukan soalan sukar dengan sikap bertimbang rasa menjadi antara cabaran utama dalam mengemudi Bukak Mulut yang sering mengupas kehidupan peribadi, kontroversi, perjalanan kerjaya serta sisi sebenar tokoh dikenali ramai.
Dalam landskap kandungan digital yang kerap mengejar tular, tajuk sensasi dan potongan klip mencetuskan perdebatan, beliau menegaskan bahawa hos perlu pandai membezakan antara soalan yang membuka ruang perbincangan bermakna dengan soalan yang hanya bertujuan memancing reaksi emosi.
“Kadangkala kita terlalu sibuk mahu mendapatkan jawapan, sampai terlupa orang di hadapan kita juga mempunyai perasaan. Saya percaya kita boleh bertanya perkara yang sukar tanpa merendahkan, menghakimi atau memalukan seseorang.
“Kita tidak tahu keseluruhan perjalanan hidup seseorang hanya melalui apa yang kita nampak atau apa yang orang ceritakan tentang mereka,” ujarnya.
Tambah Affendy, keterbukaan dalam format podcast tidak seharusnya disalahertikan sebagai lesen untuk mempermainkan kisah hidup tetamu, sebaliknya keberanian berbicara perlu seiring dengan empati, tanggungjawab dan penghormatan terhadap batas peribadi masing-masing.
Pengalamannya dalam bidang penyiaran, komunikasi, pemasaran digital serta penerbitan kandungan turut membantu membentuk pendekatan tenang ketika berdepan tetamu daripada pelbagai latar belakang iaitu sama ada yang mudah membuka cerita, bersikap defensif, emosional atau memerlukan ruang masa sebelum selesa bercerita.
Melalui Bukak Mulut, dia berharap setiap sesi tidak sekadar berakhir dengan mencari siapa betul atau siapa salah, tetapi membuka mata penonton terhadap sisi kemanusiaan yang sering terlindung di sebalik populariti dan tanggapan masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd