LATEST

Semangat Pak Samad berkaki ayam demi rakyat kekal terpahat dalam ingatan – Fahmi

Semangat Pak Samad berkaki ayam demi rakyat kekal terpahat dalam ingatan – Fahmi

Kuala Lumpur: Kesanggupan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Seri A Samad Said yang mesra disapa Pak Samad berkaki ayam menapak di atas jalan tar yang panas demi menyuarakan isu rakyat menjadi antara kenangan paling berbekas dalam ingatan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Baca juga: ‘Pak Samad sering kirim surat, karya sasteranya ketika saya dipenjara’ – Anwar

Mengimbau peristiwa berkenaan semasa perhimpunan Bersih suatu ketika dahulu, Fahmi berkata, keberanian luar biasa Allahyarham turun ke jalanan membuktikan figura tersohor itu bukan sekadar karyawan yang dikagumi, malah pejuang sejati dalam isu kemanusiaan serta hak rakyat.

“Allahyarham bukan sekadar seorang seniman yang karya-karyanya sangat dikagumi, dihormati dan meninggalkan kesan bagi ramai dan saya juga sangat terkesan mengingati semula semangat dan jiwa Allahyarham, terutama dalam isu-isu kemanusiaan dan hak rakyat,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini malam ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Fahmi berkata, kementeriannya akan meneliti beberapa cadangan yang dikemukakan tokoh wartawan serta penulis berhubung inisiatif mengabadikan jasa dan bakti Allahyarham dalam dunia sastera serta penulisan tanah air.

Beliau berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga akan diminta meneliti koleksi sajak serta karya Allahyarham untuk disiarkan dalam slot bersesuaian sebagai penghormatan dan tatapan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Jadi insya-Allah saya juga akan meminta pihak RTM meneliti beberapa sajak dan karya Allahyarham dan kita carikan masa untuk membacakannya,” katanya.

A Samad yang dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka merupakan penerima Anugerah Sastera Negara keempat pada 1985 dan terkenal dengan karya agung seperti novel Salina, Sungai Mengalir Lesu serta Hujan Pagi.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang tadi selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news