LATEST
National

Carolan positif menjelang pertemuan dengan Pakistan

Carolan positif menjelang pertemuan dengan Pakistan

IPOH: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Brendon Carolan menyifatkan Speedy Tigers menunjukkan peningkatan prestasi meskipun tewas 2-4 kepada Australia pada saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-32 di sini, hari ini.

Baca juga: MCMC Saman Google RM300 Juta, Dakwa Cuai Biarkan Kandungan Papagomo Terus Tersebar Di YouTube

Carolan berkata skuad negara berdepan tugas sukar selepas dibolosi dua gol awal, masing-masing hasil percubaan pertama Australia ketika memasuki kawasan D dan pukulan sudut penalti pertama.

Bagaimanapun, beliau berpuas hati dengan kebangkitan anak buahnya yang mempamerkan aksi lebih baik berbanding perlawanan terdahulu.

“Saya fikir ia satu perlawanan yang baik. Ketinggalan dua gol pada awal permainan menyukarkan keadaan, namun kami bangkit dengan baik.

“Dari segi prestasi, jelas kami bermain lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Menjelang aksi penting menentang Pakistan pada Khamis, Carolan mahu anak buahnya memperkemas organisasi pertahanan, terutama ketika kehilangan penguasaan bola.

Beliau berkata keupayaan Pakistan melancarkan serangan balas pantas menuntut skuad negara lebih bijak mengurus penguasaan bola.

“Kami perlu mengurus penguasaan bola dengan lebih baik kerana kehilangan bola dan membenarkan lawan melancarkan serangan balas pantas boleh membawa padah.

“Perlawanan ini menjadi persiapan yang baik untuk menghadapi Pakistan. Kami perlu mengekalkan struktur permainan dan tidak membiarkan aksi menjadi terlalu terbuka,” katanya.

Malaysia kini menduduki tangga kedua dengan sembilan mata selepas empat perlawanan, berkongsi mata dengan Pakistan di tangga ketiga, namun memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol.

Sementara itu, ketua jurulatih Australia Mark Hager mengakui Malaysia memberikan tentangan sengit, terutama menerusi disiplin pertahanan di sekitar kawasan D.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news