LATEST

Imam dilepas, dibebaskan pertuduhan amang seksual kanak-kanak lembam

Imam dilepas, dibebaskan pertuduhan amang seksual kanak-kanak lembam

am@hmetro.com.my

Baca juga: Pemegang kad UNHCR ditempatkan di negara ketiga selepas tempoh transit – Ahmad Zahid

Ayer Keroh: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, melepas dan membebaskan seorang imam daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal (berbogel) di hadapan kanak-kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) lembam, di stor sebuah surau di Limbongan, empat tahun lalu.

Hakim Datuk DJP Suria Kumar memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Perayu, Ashar Sabtuawan, 63 tahun, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara diputuskan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen.

Mahkamah Sesyen mensabitkan perayu pada 10 Jun 2025 dan menjatuhkan hukuman sembilan tahun penjara serta tiga sebatan bagi pertuduhan pertama, dan tiga tahun penjara bagi pertuduhan kedua serta berjalan serentak.

Suria membuat keputusan itu selepas meneliti rekod rayuan, alasan penghakiman hakim Mahkamah Sesyen serta hujahan kedua-dua pihak, perayu dan pendakwaan selaku responden.

Antara lain katanya, mahkamah mendapati mangsa adalah saksi tidak berkredibiliti kerana terdapat percanggahan ketara iaitu keterangan lisan dan transkrip Pusat Interviu (CIC) mengenai kewujudan saksi kanak-kanak lain dan ketika pemeriksaan balas oleh peguam.

Hakim berkata, mangsa menjawab ‘setuju’ dengan cadangan peguam iaitu, tertuduh (perayu) tidak menariknya ke dalam stor surau; tiada sentuhan dan tidak membuka baju dan kain pelekat di hadapannya kerana pada hari kejadian ada gotong royong jamuan raya.

“Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, saksi gagal menjelaskan mengapa dia bersetuju dengan cadangan peguam dan hanya berdiam diri.

.”..mahkamah dengan ini mengetepikan sabitan dan hukuman diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen. Tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan. Wang jaminan dikembalikan,” katanya ketika membaca penghakiman ringkas.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod manakala perayu diwakili peguam Mohd Yusoff AG Lah.

Perayu sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 15(i)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, iaitu amang seksual berbentuk fizikal dan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang mangsa berusia 13 tahun lapan bulan ketika kejadian.

Responden menghujahkan sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen adalah selamat dan tepat di sisi undang-undang dan fakta, serta wajar dikekalkan Mahkamah Tinggi.

Katanya, Hakim Bicara sudah menjalankan penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan saksi pendakwaan, mendapati mangsa saksi jujur dan boleh dipercayai walaupun berstatus OKU serta disokong secara konsisten oleh kelakuan segera dan penceritaan kepada ahli keluarganya.

Sementara itu, perayu ketika ditemui selepas prosiding melahirkan rasa syukur dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan selepas empat tahun turun naik mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news