LATEST

Mourinho iktiraf Bellingham terbaik dunia

Mourinho iktiraf Bellingham terbaik dunia

Madrid: Jose Mourinho menyifatkan Jude Bellingham sebagai pemain tengah terbaik dunia selepas bintang England itu mencetuskan kebangkitan Real Madrid ketika membelasah PSV Eindhoven 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Baca juga: YTN bimbing murid kuasai 3M, bina keyakinan diri

Bellingham yang dimasukkan pada babak kedua ketika Real ketinggalan, memainkan peranan penting mengubah rentak permainan pasukan itu, termasuk menghasilkan gol menakjubkan menerusi rembatan jarak jauh.

Pemain tengah berusia 22 tahun itu sebelum ini mengakui Mourinho membantu mengembalikan prestasi terbaiknya sejak beberapa minggu kebelakangan ini, namun pengendali Portugal itu menegaskan Bellingham sendiri menjadi faktor utama kejayaan berkenaan.

“Saya fikir individu paling bertanggungjawab terhadap pemain seperti Jude hari ini ialah Jude sendiri dan rakan sepasukannya. Saya hanya cuba membantu sedikit.

“Dia pemain yang luar biasa dan memiliki segala-galanya. Dia mempunyai kekuatan fizikal, teknik, pemahaman taktikal terhadap permainan, cita-cita dan semua yang diperlukan.

“Dia bukan melakukannya seorang diri, tetapi hari ini dia mengubah arah perlawanan. Dia pemain yang luar biasa dan bagi saya, tanpa sebarang keraguan, pemain tengah terbaik dunia,” kata Mourinho.

Kemenangan ke atas PSV, juara Belanda itu, turut mengekalkan rekod sempurna Real dalam fasa liga Liga Juara-Juara, sekali gus meletakkan mereka di kedudukan teratas buat sementara waktu.

Mourinho turut mengulangi pandangannya bahawa sesuatu yang memalukan apabila Bellingham tidak disenaraikan dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia pada majlis Ballon d’Or tahun ini.

Pengendali itu mengakui persembahan Real pada babak pertama amat mengecewakan apabila pasukannya ketinggalan 0-1, sebelum Bellingham membantu mengubah keadaan selepas rehat.

“Babak pertama sangat mengejutkan dalam cara yang buruk. Pemain bernombor lima ini memberikan dinamik yang sama sekali berbeza kepada pasukan,” katanya.

Bellingham pula mengakui tidak mengetahui bagaimana dia menghasilkan gol sensasi itu apabila mengangkat bola di luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan yang menembusi penjuru jauh gawang PSV.

Pemain England itu memilih jersi nombor lima Real sebagai penghormatan kepada legenda kelab, Zinedine Zidane, yang menjadi idolanya ketika menyertai kelab berkenaan.

Jaringan itu turut mengundang perbandingan dengan gaya gol bekas pemain Perancis itu.

“Saya melakukan perkara yang dianggap orang seperti Zidane, tetapi dia jauh lebih baik daripada saya,” kata Bellingham kepada pemberita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news